Home Top Ad

Liverpool semakin hampir ikat jalinan dengan Nike?



Sejak beberapa bulan lepas, angin bertiup membawa berita mengatakan bahawa Nike telah membuat tawaran tinggi kepada Liverpool untuk menjadi penaja kit pasukan juara Eropah itu.

Begitu yang dilapor media British, Nike dan Liverpool sudah di peringkat perbincangan seterusnya berhubung perjanjian penajaan baju rasmi yang bakal menyaksikan jenama baru mengambil alih dari New Balance bermula musim 2020/2021.

Dikhabarkan, syarikat sukan terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat itu melamar Liverpool dengan nilai £100 juta setahun, menjadikannya perjanjian paling mahal dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Bersama tawaran itu juga, Nike kata mereka mahu ‘pemain yang ditaja mereka dibawa masuk & Nike sanggup untuk membiaya bersama harga perbelanjaannya’ (kalau jadi lah).

Sementara itu, Liverpool masih menantikan pihak mana lagi yang mampu mengatasi tawaran Nike itu sebelum ia dimuktamadkan, di mana Adidas dan Puma juga dikatakan ada membuat tawaran.

Ketika ini, jalinan Nike dengan Barcelona yang bernilai £100 juta setahun selama sedekad, yang bermula sejak 2018, adalah yang tertinggi di dunia, mengatasi perjanjian £98 juta setahun (untuk 10 tahun) antara Adidas dengan Real Madrid pada 2015.

Memandangkan Liverpool sudah menambah bintang keenam pada lencananya selepas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lalu selain kecemerlangan dalam kancah domestik (walaupun tidak memenangi Liga Perdana Inggeris dengan 97 mata dan hanya satu kekalahan sepanjang musim), sudah pasti Liverpool mahukan pulangan yang lebih besar daripada apa yang diterima seteru tradisinya, Manchester United yang bersama Adidas untuk £750 juta selama sepuluh tahun.

Perjanjian Liverpool dengan penaja pakaian New Balance sejak musim 2015/2016 dengan nilai £45 juta setahun akan berakhir penghujung musim ini.

Mendengar perkhabaran tersebut, maka kepala-kepala kreatif pun muncul lah dengan pelbagai idea dan rekaan antaranya daripada pereka Perancis, @saintetixx untuk menggambarkan bagaimana Liverpool dalam jersi Nike, kali pertama dalam sejarah kelab tersebut.



Sumber gambar Footy Headlines

Apa macam? Atau anda ada idea lain bagaimana kemungkinan rupa Liverpool dalam jersi Nike? Atau jersi jenama-jenama lain? Kongsi dengan kami.

Liverpool semakin hampir ikat jalinan dengan Nike? Liverpool semakin hampir ikat jalinan dengan Nike? Reviewed by Hilal Azmi on September 14, 2019 Rating: 5

No comments