Home Top Ad

NIKE kembalikan memori 90-an



Hidup ini umpama roda, begitu juga segala di dalamnya termasuk fesyen yang ada kitarannya.

Kita lihat seni fesyen hari ini banyak yang menyuntik kembali elemen rekaan lama dan dunia bola sepak tidak terkecuali.

NIKE membawa kembali nostalgia era 90-an di dalam rekaan jersi ketiga pasukan-pasukan yang berada di bawah naungannya, sedikit sebanyak mengimbau memori zaman menonton bola sepak di kaca televisyen CRT (cathode ray tube) yang perlu di’adjust’ antenna untuk memperjelas siarannya.

Kita tengok perbandingan jersi baharu musim 2019/2020 dengan jersi yang menjadi inspirasi daripada era baju 'oversize' sekitar 20 tahun lepas.

PSG


Paris Saint-Germain menyambut ulang tahun ke-30 kerjasamanya dengan NIKE menerusi sentuhan moden terhadap rekaan 1989/1990.

Seperti pelopornya, jersi 2019/2020 juga memaparkan logo NIKE Futura dan corak ‘jacquard’ dengan tulisan halus ‘Paris’ timbul pada fabrik putih.


Barcelona


Baju ketiga Barca musim ini mengimbas memori musim 1996/1997 ketika mereka menjulang Copa del Rey dan Piala Pemenang Piala UEFA (sekarang Piala Super UEFA) ketika mana Ronaldo Lima menjaringkan 47 gol.

Kolar leher-V retro dengan warna ‘Blaugrana’, kemasan biru tua pada lengan dan corak jacquard memaparkan ‘coat of arms’ Barcelona pada seluruh fabrik.


Chelsea


Warna oren terang diterap daripada jersi ‘away’ 1994/1996, antara era yang diraikan dalam sejarah Chelsea ketika legenda Belanda, Ruud Gullit beraksi di Stamford Bridge.

Trim oren pada kolar dan lengan menyerlahkan elegan warna hitam yang dihiasi corak jacquard ‘CFC’ merentas seluruh baju.

“Peminat muda akan menyukainya kerana ia ada ‘streetwear vibe’, sementara penyokong yang lebih berusia akan menghargainya dengan lebih sentimental, mengenang legenda kelab yang pernah mengenakan jersi ini dan memori menghadiri perlawanan”, kata pemain tengah The Blues, Mason Mount.


Atletico Madrid


Nama gelaran kelab ‘Atleti’ dijahit halus pada fabrik membangkitkan corak matte/kilau warna biru langit. Pada kolar disematkan tujuh bintang, dipinjam dari ‘coat of arms’ kota Madrid.

Jersi ketiga Atletico Madrid musim ini diinspirasikan daripada pakaian era 1990/1991 ketika mereka merangkul Copa del Rey pada musim tersebut.


Inter Milan


Musim ini buat sekian kalinya FC Internazionale Milano akan kembali beraksi di pentas tertinggi kejohanan kelab bola sepak Eropah - Liga Juara-Juara UEFA.

Jersi hitam pekat dengan sulaman halus logo kelab dan perkataan ‘Inter’ pada seluruh permukaan fabrik disempurnakan sentuhan jalur halus kuning pada kolar bulat dan lengan, mengambil semangat era keunggulan Nerazzuri pada 1997/1998 dan 2009/2010.

Kit hitam yang dimahsyurkan legenda Brazil, Ronaldo Lima (memang legend) ini juga sempena meraikan persahabatan lama dengan pengeluar tayar, Pirelli sejak 1995. Lama gila.


Tottenham Hotspurs


Kelab berpangkalan di Utara London ini mengenang pemain ikonik terdahulu dengan mengembalikan tona biru langit yang sinonim dengan bakat yang telah membentuk Spurs dari dahulu hingga kini.

Sulaman halus jacquard menunjukkan grafik tulisan ‘SPURS’ yang diambil dari jersi ketiga era 1991-1994, dan kolar kemas berbutang juga diterap daripada era sama.


Galatasaray


Kit ketiga Galatasaray musim ini meraikan dua dekad sejak kelab itu menjulang empat gelaran yang mengorak sejarah baharu bola sepak Turki.

Malah, ia juga diinspirasi daripada kegemilangan Gala berada di persada Eropah apabila menundukkan Real Madrid pada Piala Super UEFA 2000, selepas menjulang Piala UEFA musim sebelumnya.


AS Roma


Ketika artikel ini ditulis, jersi ini belum dilancarkan secara rasmi namun berdasarkan informasi daripada sumber yang sangat boleh dipercayai (terima kasih Footy Headlines), inilah rupanya kit ketiga AS Roma.

Diinspirasikan daripada keunggulan musim 1992 ketika Giallorossi memenangi Piala Itali, jersi bes warna biru tua dengan kemasan merah tua dan kuning memang cukup sempoi (boleh kata kit ketiga paling cun dikeluarkan Nike musim ini).


NIKE kembalikan memori 90-an NIKE kembalikan memori 90-an Reviewed by Hilal Azmi on September 18, 2019 Rating: 5

No comments