Home Top Ad

Ada apa dengan Goya?



Mungkin tak ramai di Malaysia mengenali Francisco Goya.

Benar, kerana dia adalah pelukis kelahiran Sepanyol yang hidup pada sekitar kurun ke-18 dan 19. Tokoh sejarah bangsa kita sendiri pun tak ramai yang kenal, apatah lagi orang yang hidup beribu batu jauh dari sini pada beratus tahun dahulu.

Namun ada sesuatu yang besar dalam perjalanan hidupnya sehingga diceritakan di seluruh dunia sehingga hari ini. Riwayat hayatnya terus disampaikan menerusi penulisan, diterjemah ke permainan pentas dan layar perak dari generasi ke generasi.

Ceritanya sampai ke Malaysia dalam bentuk teater bertajuk The Deaf Man’s House, dipersembahkan oleh Odin Teatret dari Denmark. Masakini Theatre Kuala Lumpur yang membawa mereka ke pentas Studio Ramli Hassan di Bukit Tunku pada 21 hingga 23 November tempoh hari.

The Deaf Man’s House adalah sebuah teater capriccio tentang perjalanan riwayat pelukis masyhur Sepanyol itu dari mata dan memori Leocadia Zorilla, pembantu yang dipercayai kekasih yang mendampinginya hampir 30 tahun sehingga hujung nafas Goya. 

Odin Teatret dari Denmark yang diwakili Else Marie Laukvik yang bermonolog sebagai Leocadia Zorilla, Frans Winther sebagai Francisco Goya, Rina Skeel sebagai rahib dan Eugenio Barba selaku pengarahnya.

Setnya di Bordeaux, di rumah Goya, pada hari terakhir hayat pelukis itu. Zorilla bermonolog menceritakan perjalanan hidup Goya dari kelahirannya, permulaan kariernya sebagai pelukis, mendaki tangga status sehingga menjadi orang penting istana, kisah cintanya, sehingga kematiannya yang menyedihkan.

Persembahan selama sejam yang kemas dan dinamik oleh tiga orang pelakon itu mencuit beberapa persoalan kepada spekulasi yang bermain sekitar riwayat hidup pelukis legenda itu. Secara tidak langsung, menghasut audiens terutamanya yang baru terdengar nama Goya terbangkit rasa ingin tahu dan mencari lebih dalam tentang siapa Goya ini dan mengapa jalan hidupnya begitu. 

Francisco José de Goya y Lucientes lahir dalam keluarga kelas pertengahan pada 1746 di Aragon. Dia belajar melukis pada usia 14 sebelum berhijrah ke Madrid untuk terus belajar dan mengembangkan bakatnya di ibu kota Sepanyol itu.

Dia mengecap kegemilangannya apabila dilantik menjadi court painter kepada Raja Sepanyol, Charles IV pada 1789 dan turut diupah oleh para bangsawan yang mahu mengabadikan keunggulan di atas permukaan kanvas dan bangunan.

"Charles IV of Spain and His Family", 1800

Sehinggalah pada sekitar 1793, satu penyakit misteri menimpanya menyebabkan Goya hilang pendengaran. Bersama kemerosotan keupayaan fizikal dan ’kewarasannya’, karyanya juga berubah dari portret indah kepada paparan menakutkan tentang kebobrokan manusia.

Pelukis yang suatu ketika langkahnya bergema di perkarangan istana, berakhir menjadi papa kedana serta jauh dari tanah airnya. Mengapa?

“Apa yang lebih menarik tentang Goya adalah di dirujuk oleh istana, dirujuk oleh semua orang. Kemudian apabila dia mula mengalami masalah kesihatan dan mula melukis benda yang dekat dengan jiwa dan hatinya, dia dibuang dari masyarakat atasan.

“Kehidupan Goya mencerminkan segalanya yang kita baca dalam mana-mana kitab seperti Injil atau Al-Quran, ia mengatakan ‘satu ketika anda akan berada di atas, dan satu hari anda akan berada di bawah’,” kata penerbit bersama yang juga pemimpin Masakini Theatre, Sabera Shaik.

Diceritakan Goya ditimpa sakit beberapa minggu selepas Perancis mengisytihar perang terhadap Sepanyol. Sejak itu, ia menjadi titik perubahan yang membuatkan Goya mula mengasingkan diri daripada kelompok bangsawan dan memilih untuk hidup menyendiri. Karya-karyanya juga semakin bersifat peribadi, jujur dan tulus lahir dari pemerhatiannya terhadap senario manusia.

Salah satu daripada siri Disasters of War yang dihasilkan Goya antara 1810 hingga 1820.

"The Sleep of Reason Produces Monsters" (1799), sebahagian daripada siri satira Los Caprichos.

Dari itu lahirnya karya-karya bertema gelap seperti siri The Disasters of War. Walaupun Goya tidak menjelaskan hasratnya di sebalik karya ini, sejarawan seni melihat ia sebagai protes visual terhadap keganasan yang disaksikannya sepanjang tempoh pergolakan kuasa di Sepanyol. 

Dia kemudian berhenti mengambil komisyen daripada elitis dan berpindah jauh dari ibu kota ke sebuah rumah di tengah ladang yang mashyur dikenali dengan nama La Quinta del Sordo. Di situ, dia melempiaskan rasa hati dengan siri 14 lukisan Black Painting yang dilukis pada dinding rumahnya. 

"Witches' Sabbath", sebahagian daripada siri Black Painting yang dihasilkan antara 1819-1823.

"Saturn Devouring His Son", Black Painting (1819-1823)

Kesihatannya semakin merosot, Goya akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pada usia 81 tahun tanggal 16 April 1828, dalam keadaan serba daif tanpa sesen pun wang dimiliki. Umum melihat dia mati sebegitu tragis, tetapi sekurang-kurangnya bukan sebagai ‘hamba’ kepada mana-mana raja atau bangsawan. 

Dia pergi sebagai jiwa bebas, tanpa terikat pada sebarang materi. Begitulah seorang seniman sejati yang mencapai maksud kewujudannya di muka bumi, sebagai pengingat kepada manusia supaya kembali ke landasan yang sebenarnya.

Ada apa dengan Goya? Ada apa dengan Goya? Reviewed by Hilal Azmi on November 28, 2019 Rating: 5

No comments