Home Top Ad

Kenapa orang Cina pakai warna merah pada Tahun Baharu?


Asal tiba Tahun Baharu Cina, mesti seluruh kota dan pekan dihiasi warna merah. Kenapa merah? Tidak kuning ke, biru ke, hijau ke. Apa signifikan warna merah dalam perayaan ini?

Katanya warna merah ini bawa 'ong' atau nasib baik bagi masyarakat Tionghua. Ya lah, kenapa merah?

Sebenarnya ada pelbagai versi cerita asal mengapa orang Cina mengenakan warna merah pada perayaan Tahun Baharu mereka. Legenda yang paling popular adalah kisah mengenai raksasa yang dipanggil Nian.

Digambarkan Nian adalah sejenis makhluk yang wajahnya seperti singa tetapi sedikit penyek, berbadan seperti anjing dan bertaring tajam, tinggal jauh di kawasan pergunungan serta laut dalam. Ada juga yang mengatakan bahawa Nian ini saiznya lebih besar daripada gajah dengan dua tanduk panjang.

Menurut mitos, makhluk menakutkan ini akan turun dari gunung dan keluar dari laut untuk memuaskan nafsunya dengan membaham segala benda hidup merangkumi hasil tanaman, haiwan dan tidak terkecuali manusia khususnya kanak-kanak pada setiap malam Tahun Baharu. Sudah kenyang, Nian akan kembali ke sarang persembunyiannya.



Orang kampung hilang tanaman, hilang binatang ternakan, hilang ahli keluarga dan kawan-kawan. Mereka sudah tidak sanggup lagi untuk berdepan kemusnahan yang sama setiap tahun. Akhirnya entah macam mana mereka mengetahui kelemahan raksasa itu - warna merah dan bunyi letupan.

Maka sebelum tibanya Tahun Baharu di mana kebiasaannya bersama kehadiran Nian, mereka akan memasang perhiasan merah seperti tanglung dan skrol pada tingkap dan pintu rumah masing-masing. Mercun diletupkan, gong dan simbal dipalu malah mereka turut meninggalkan makanan di hadapan pintu sebagai alternatif kepada raksasa itu supaya tidak memakan hidupan bernyawa.

Bermula waktu itu, Nian tidak berani untuk mendekati kampung itu maka hiduplah mereka dalam keadaan aman damai, sentosa dan bahagia.

Tidak tahu bila asalnya kisah legenda itu berlaku, tetapi tradisi itu menjadi amalan turun-temurun sehingga ke hari ini.

Peranan raksasa bernama Nian dalam sambutan Tahun Baharu Cina amat besar apabila cuti tahun baharu ini juga dipanggil 'Guo Nian' yang bererti 'atasi/kalahkan/usir Nian'.

Begitulah kisahnya.

Kenapa orang Cina pakai warna merah pada Tahun Baharu? Kenapa orang Cina pakai warna merah pada Tahun Baharu? Reviewed by Hilal Azmi on January 25, 2020 Rating: 5

No comments