Home Top Ad

Beza penggiat teater dahulu dengan hari ini - Azrul Zaidi


Ramai yang mengenalinya dari pentas Raja Lawak, tapi kegiatan seni Azrul Zaidi sebenarnya bermula lebih awal di pentas teater.

Baru-baru ini anak kelahiran Pulau Pinang ini baru selesai mementaskan teater ‘Korupsi Dewan Semandung’ arahan Khir Rahman yang berlangsung selama dua hari dari 28 hingga 28 Februari. Dia juga menjadi wajah hadapan mengacarakan program ‘Bicara Pengguna’ di saluran RTM.

Melibatkan diri dalam dunia teater bermula sejak lewat 90-an, nyata beliau dapat melihat perubahan dan perbezaan yang dialami bidang itu dan mereka yang menyertainya. Berbanding dahulu sebelum era milenium baharu, zaman media sosial hari ini katanya menjadi gangguan untuk para pemain benar-benar berteater.

“Dulu kita datang buat latihan betul-betul, tak fikir nak ambil gambar, nak ‘upload’ gambar, nak ‘upload’ video di Instagram. Kalau tempoh berlatih sejam, sejam lah. Tak ada nak buat benda lain.

“Sekarang ini budak-budak baharu yang ‘join stage performance’, kadang-kadang tegur suruh serius jangan main-main, dah tarik muka. Bagi mereka, semua benda nak kena ada bukti. Tak salah, tapi bila waktu latihan tu, bezanya orang dulu dengan orang sekarang ialah fokus,” katanya.

ON X ON Foto: Instagram @azrulzaidi
Cerita Azrul, pementasan teater juga menuntut sesi latihan yang sangat berdisiplin dan ada ritualnya, yang tidak difahami dan dipandang ringan oleh kebanyakan pemain hari ini.

“Sebelum kita mula berlatih, kita akan panaskan badan, kemudian ada satu peringkat kita akan pegang tangan ramai-ramai, kita ‘share’ aura, kita pejam mata, kaji watak kita, buang segala apa yang di luar, bila masuk set kita dapat bawak watak kita.

“Tapi budak-budak zaman sekarang ni bila kita buat benda tu, mereka macam ‘tak payah lah buat semua ni, kita jalan terus lah,” ceritanya lagi.

Membesar dalam keluarga penggiat teater, saya amat memahami kekesalan yang dikongsi Azrul. Persembahan teater bukan satu bentuk hiburan semata mata. Memahami proses pementasan teater membawa pemainnya mengenali diri, mengenali ruang dan lebih dalam lagi, mengenali Sang Pencipta. Ia satu bentuk kesenian yang memanusiakan manusia.

Bukan senang kehidupan sebagai hamba seni, lebih-lebih lagi dalam waktu sukar begini. Apabila wabak COVID-19 menyerang Malaysia, aktiviti biasanya untuk melempiaskan bakat sambil mencari makan terhenti. Ketika waktu inilah, dia mengimbas kembali tujuannya bergiat dalam dunia seni dan nasibnya sebagai seorang penggiat seni di negara ini.

“Ramai orang kita yang minat seni tapi ruang dan peluang tak dapat, sebab kadang-kadang ada pihak berkepentingan yang lebih fikirkan benda itu secara komersial.

Azrul bercerita dia pernah cuba membuat permohonan untuk menjadikan satu sudut di Dataran Merdeka sebagai ruang atau pentas luahan seni orang ramai, ketika lokasi itu menjadi tumpuan geng ‘mat rempit’ satu ketika dahulu. Daripada lepak kosong, ada eloknya buat sesuatu di situ, katanya. Sayang sekali, permohonannya tidak dilayan atas alasan tiada peruntukan.

"Saya pernah ikut buat persembahan di Singapura. Kerajaan mereka bagi SGD250 setiap seorang untuk duit makan sepanjang tempoh produksi.

“Orang datang ke sesebuah negara disebabkan sukan, seni, budaya dan hiburan. Agak kecewa bidang seni di negara ini tak dapat sokongan yang sepatutnya.”

Azrul beraksi untuk Toq FC Foto: Instagram @azrulzaidi

Jiwa seninya juga dilempiaskan di atas padang. Azrul kerap bermain bola sepak bersama pelbagai pasukan, termasuk pasukan bernama Toq FC yang dianggotai bersama para selebriti seperti Kazar, Datuk Fizz Fairuz, Zahid Baharuddin dan ramai lagi. Pasukan itu tertubuh dan bermain untuk perlawanan amal dan secara suka-suka.

Ketika bersiaran langsung di Instagram bersama RancakTV tempoh hari, terlihat pada air wajahnya riak geram dah lama tak main bola. Sabar bang, sama-sama kita harungi waktu sukar ini.
Beza penggiat teater dahulu dengan hari ini - Azrul Zaidi Beza penggiat teater dahulu dengan hari ini - Azrul Zaidi Reviewed by Hilal Azmi on March 27, 2020 Rating: 5

No comments