Home Top Ad

Cubaan berani mati naiki zipline terpanjang dan tertinggi di Asia!


Selesai penggambaran dengan subjek pertama di Cebu, saya dan penerbit, Ian Johan Ariff terbang ke Ozamiz City untuk merakam perbualan bersama keluarga subjek kedua bagi dokumentari 'New Bayani' terbitan bersama Astro AWANI dengan kerjasama Facebook.

Ozamiz City adalah sebuah bandar kecil yang berada di pulau Mindanao, selatan Filipina. Mengetahui cerita pergolakan politik melibatkan militan di pulau itu, ada sedikit khuatir tentang keselamatan kami. Jarak jauh Ozamiz City dengan wilayah bergolak Marawi menambahkan lagi ketenangan kami untuk menjejakkan kaki ke sana.

Ia merupakan pertama kali kami sampai ke situ. Ia tidak seperti Cebu City yang sibuk dan sesak, Ozamiz City adalah pekan kecil yang hidup dengan tenang dan damai. Ketibaan kami di Lapangan Terbang Labo disambut oleh Estela Foroseulo, seorang warga tempatan yang merupakan isteri kepada anak subjek kedua dokumentari kami.



Jonathan Forosuelo adalah anak kepada Flora May Forosuelo yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Warga Filipina merantau ke negara orang demi memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga di kampung halaman, hasilnya dapatlah Jonathan mengusahakan sebuah kedai makan, perkhidmatan cuci kereta serta sebuah kafe siber.

Selepas makan tengahari, kami terus menjalankan penggambaran bersama Jonathan tentang sekitar kehidupannya. Seusai itu, kami dibawa ke Hoyohoy, kawasan tanah tinggi yang menjadi lokasi tarikan pelancong di Tangub City, kira-kira 11 kilometer dari Ozamiz City.

Nak kata ramai pelancong datang ke Ozamiz City, tidaklah sangat. Namun status provinsinya yang masih tidak pesat seperti Cebu atau Manila membolehkan permata alam semulajadinya terus kekal indah dan unik. Siapa yang tahu, tahulah.

Berada di ketinggian 850 meter dari paras laut, Taman Kembara Gereja Batu Tanah Tinggi Hoyohoy menempatkan 'zipline' tertinggi dan terpanjang di Asia. Ada dua peringkat, yang pertama sejauh 1.25 kilometer dan yang kedua sejauh 1.1 kilometer. Walaupun ada sedikit gayat, saya ingin mencubanya. Ian awal-awal dah ucap terima kasih.

Bukan aktiviti 'zipline' sahaja, pengunjung juga boleh merentas hutan pokok pine sambil dibelai bayu dingin tanah tinggi, melawat gereja kecil yang dibina daripada batu ratusan tahun dahulu, malah boleh menginap di situ. 

Kami kemudian dibawa ke satu lagi lokasi istirahat tidak jauh dari situ, Beck's Encantada Flower Fam & Kawa Bath Spa. Tempat yang dibuka oleh seorang peneroka kulit putih bernama Beck beberapa tahun lalu ini penuh dengan bunga-bungaan pelbagai warna dan rupa, sangat 'Instagram-worthy'.

Tarikan utamanya adalah mandian spa di dalam kawah yang dipanaskan dengan kayu api. Ada pelbagai pilihan air rendaman yang boleh dipilih seperti air kunyit, air kelapa, air garam laut, air mata (BUKAN) dan macam-macam lagi. Katanya memberi khasiat berbeza pada tubuh badan.

Sambil meneguk air kelapa terus dari buahnya, kami menikmati matahari terbenam di sebalik ladang buah naga yang memanjang ke ufuk barat. Tidak ada yang lebih mendamaikan daripada berada jauh dari hiruk pikuk kota.

-Israr Khalid-


            
Cubaan berani mati naiki zipline terpanjang dan tertinggi di Asia! Cubaan berani mati naiki zipline terpanjang dan tertinggi di Asia! Reviewed by Hilal Azmi on March 12, 2020 Rating: 5

No comments