Home Top Ad

Ini 6 tahap penyebaran wabak Covid-19 di Itali


2,503 orang sudah mati dibunuh COVID-19 di Itali. Takkan mahu tunggu nasi jadi bubur baru nak faham?

Ini merupakan peringkat ataupun tahap penularan wabak coronavirus di Itali akibat tidak endah kuarantin dan arahan untuk duduk di rumah.

TAHAP PERTAMA

Anda tahu koronavirus wujud, dan kes pertama muncul di negara anda. Tiada apa yang perlu dirisaukan, ia hanya selsema buruk!

Saya bukan berusia 75 (ke atas) jadi apa boleh terjadi pada saya? Saya selamat, orang lain yang melebih-lebih, perlu ke keluar memakai topeng dan beli bekalan tisu. Saya akan jalani hidup seperti biasa, tak perlu menggelabah.

TAHAP KEDUA 

Kes mula meningkat. Mereka mengisytihar ‘zon merah’ dan mengkuarantinkan satu atau dua bandar kecil di mana mereka menemukan kes terawal dan ramai yang telah dijangkiti (22 Februari). Menyedihkan, pada masa sama agak merisaukan tapi mereka yang menguruskannya jadi tiada apa yang perlu dipanikkan. Ada beberapa kematian tapi semuanya orang tua jadi media hanya wujudkan panik untuk raih tontonan, memalukan.

Orang ramai menjalani kehidupan seharian seperti biasa… Saya tidak akan berhenti keluar dan melepak dengan kawan-kawan, kan? Ia takkan sampai kepada saya, semua orang baik-baik saja di sini.

TAHAP KETIGA

Bilangan kes meningkat dengan begitu cepat. Ia hampir dua kali ganda dalam satu hari. Lebih banyak kematian. Mereka mengisytiharkan zon merah dan mengkuarantinkan empat wilayah di mana majoriti kes dicatatkan (7 Mac). Di Itali, 25 peratus negara itu dalam kuarantin. 

Sekolah dan universiti ditutup di kawasan ini tetapi bar, tempat kerja, restoran dan sebagainya masih dibuka. Arahan perintah dikeluarkan oleh beberapa akhbar sebelum waktu yang sepatutnya, jadi kira-kira 10,000 orang dari zon merah keluar dari kawasan itu pada malam yang sama untuk pulang ke rumah dan bahagian Itali lain (ini akan jadi penting sebentar lagi).

Sebahagian besar populasi berbaki 75 peratus rakyat Itali masih melakukan apa yang mereka selalu lakukan. Mereka masih belum sedar keseriusan situasi ini. Di mana-mana sahaja orang saling mengingatkan supaya membasuh tangan dan hadkan pergerakan keluar, berkumpul adalah dilarang, setiap lima minit siaran di TV mengingatkan anda tentang peraturan-peraturannya.

Tapi ia masih tidak masuk kepala orang ramai.

TAHAP EMPAT

Bilangan kes terus meningkat dengan begitu cepat. Sekolah dan universiti ditutup di semua tempat untuk sekurang-kurangnya sebulan. Ia merupakan darurat kesihatan nasional. Hospital dipenuhi, seluruh unit dikosongkan untuk memberi ruang kepada pesakit koronavirus.

Tak cukup doktor dan jururawat. Mereka memanggil mereka yang telah bersara dan bakal doktor yang berada di dua tahun terakhir di universiti. Sudah tiada syif, kerjalah selagi boleh. Sudah pasti, doktor dan jururawat mendapat jangkitan, dan disebarkan kepada seluruh keluarga.

Terlalu banyak kes pneumonia, terlalu ramai yang memerlukan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tidak cukup tempat untuk semua orang. Tika dan saat ini seperti berada dalam perang: doktor harus memilih siapa yang mahu dirawat berdasarkan peluang untuk hidup.

Ia bermakna orang tua dan pesakit trauma/angin ahmar tidak dapat dirawat kerana memberi keutamaan kepada kes korona. Tidak cukup sumber untuk semua orang jadi ia harus diedarkan untuk keberhasilan terbaik. Saya harap ini satu jenaka tapi inilah yang sedang benar-benar terjadi.

Orang mati kerana sudah tiada tempat lagi. Saya ada seorang rakan doktor yang menelefon saya, ranap moralnya kerana terpaksa membiarkan tiga orang mati pada hari itu. Jururawat menangis kerana melihat orang mati dan tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menawarkan oksigen kepada mereka.

Saudara kepada seorang rakan meninggal dunia semalam akibat korona kerana mereka tidak dapat merawatnya. Huru-hara, dan sistem sedang mengalami keruntuhan. Koronavirus dan krisis akibatnya adalah benda yang anda dengar di mana-mana.

TAHAP LIMA

Ingat lagi 10,000 si bodoh yang lari dari zon merah ke seluruh pelusuk Itali? Satu negara kini diisytihar di bawah perintah kuarantin (9 Mac). Sasarannya adalah untuk mengurangkan penyebaran virus sebanyak mungkin.

Orang ramai masih boleh pergi kerja, beli barangan dapur, pergi ke farmasi, dan semua perniagaan masih dibuka kerana kalau tidak ekonomi akan ranap (sudah ranap pun), tapi anda tidak boleh bergerak keluar dari rumah melainkan dengan alasan yang sah.

Kini wujudnya ketakutan, anda dapat lihat sudah ramai yang memakai topeng dan sarung tangan, tapi masih ada juga yang merasakan diri mereka kebal, yang pergi ke restoran beramai-ramai untuk lepak minum dan sebagainya.

Langkah seterusnya.

TAHAP ENAM

Dua hari kemudian, diumumkan bahawa semua bisnes ditutup: Bar, restoran, pusat beli-belah, semua jenis kedai dan seumpamanya. Semuanya kecuali pasaraya dan farmasi. Anda boleh bergerak hanya jika anda memiliki sijil bersama anda. Sijil itu adalah dokumen rasmi di mana anda mengisytihar nama, datang dari mana, ke mana hendak dituju dan kenapa.

Ada banyak ‘checkpoints’ polis. Sekiranya anda ditemukan berada di luar tanpa sebab yang sah, anda berdepan risiko didenda sehingga 206 Euro. Jika anda diketahui positif jangkitan, anda berdepan risiko hukuman satu hingga 12 tahun penjara atas kesalahan homisaid (membunuh).

Baca artikel penuh di Surat Dari Itali di Astro Awani.
Ini 6 tahap penyebaran wabak Covid-19 di Itali Ini 6 tahap penyebaran wabak Covid-19 di Itali Reviewed by Hilal Azmi on March 19, 2020 Rating: 5

No comments