Home Top Ad

#kamiAWANI: Ini pesan kami, dalam bahasa-bahasa Malaysia. Harap faham.


Saya tidak merasakan Bahasa Malaysia masa kini merujuk kepada satu bahasa yang dipertutur orang Melayu sahaja. Bahasa Melayu tetap bahasa orang Melayu, tetapi bahasa Malaysia itu adalah segala bahasa, dialek dan loghat yang dipertuturkan di tanah tumpah darah kita ini.

Kita sedang berdepan dengan musuh dahsyat yang tak nampak di mata. Situasi sebenarnya agak genting tetapi panik bukan jawapannya. Kita perlu bersatu dan caranya cukup mudah - DUDUK DI RUMAH. Sementara yang bekerja, tetaplah bekerja demi agama, bangsa dan tanah air. 

Kalau hendak dikira kebosanan diri sendiri sebagai alasan, bukan kalian seorang. Virus COVID-19 ini telah mengubah kehidupan kita semua tak kira siapa pun anda hampir 180 darjah, dan angka 97 peratus patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan menteri itu masih belum cukup. Ini bukan peperiksaan yang kita boleh sudah cukup puas hati kalau dapat markah 97 peratus. Ujian yang sedang kita duduki ini memerlukan markah penuh 100 peratus.

Kami warga media bersama para wira wirawati barisan hadapan di katil-katil hospital dan berkawal di jalanan yang berkorban jiwa raga meninggalkan anak isteri di rumah demi sebuah tanggungjawab kepada anda semua. Ada yang anak dah menangis merindukan bapanya, ada yang isteri sedang sarat hamil, ada yang ibu sedang keuzuran. Kalau boleh memang kami mahu duduk di rumah berada di sisi mereka.

Maka ini permintaan kami, diucap dalam pelbagai bahasa lidah ibunda para tenaga kerja Astro AWANI, meruntuhkan dinding keempat yang selalunya menjadi pemisah antara kalian penonton dengan kami di bilik berita. Harap kalian faham dan kita seluruh bangsa Malaysia dapat seiring sejalan memenangi perperangan ini.





LAGI VIDEO AKAN TERUS DIMUAT NAIK DI SETIAP PLATFORM MEDIA SOSIAL ASTRO AWANI, SEHINGGA SEGALANYA BERAKHIR KELAK. TERUS IKUTI KAMI, SALURAN BERITA YANG PALING ANDA PERCAYAI.

-Israr Khalid
#kamiAWANI: Ini pesan kami, dalam bahasa-bahasa Malaysia. Harap faham. #kamiAWANI: Ini pesan kami, dalam bahasa-bahasa Malaysia. Harap faham. Reviewed by Hilal Azmi on March 29, 2020 Rating: 5

No comments