Home Top Ad

Doktor UK Dinasihat Pakai Apron Plastik


Agensi berita AP melaporkan doktor dan jururawat di barisan hadapan merawat pesakit COVID-19 di United Kingdom dinasihatkan pakai apron sebab peralatan perlindungan peribadi (PPE) kekurangan.

Ini bermakna mereka terdedah kepada jangkitan virus yang menyaksikan lebih 108,000 orang dijangkiti dengan lebih 14,000 orang sudahpun meninggal dunia akibat virus itu.

27 daripada jumlah korban itu adalah petugas barisan hadapan dari Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Itu panduan terbaru yang diberikan Public Health England (PHE) yang menasihatkan petugas NHS memakai apron plastik yang nipis ketika merawat pesakit sekiranya tidak mempunyai PPE.

Ini bertentangan dengan panduan PHE sebelum ini yang menyarankan pemakaian gaun pembedahan kalis air yang mampu menghalang penyebaran titisan koronavirus yang wajib dipakai oleh petugas kesihatan ketika menjalankan prosedur yang berisiko tinggi.

Susulan pengumuman pada Jumaat itu, ramai yang bimbang jumlah doktor dan jururawat yang dijangkiti COVID-19 akan semakin meningkat.

Cuma berita baik kerajaan UK mengesahkan sebanyak 1 bilion barangan PPE dijangka dihantar ke seluruh negara pada hujung minggu ini.

Panduan terbaharu PHE itu menyenaraikan beberapa pilihan yang boleh dilakukan oleh petugas barisan hadapan sekiranya mereka tidak mempunyai gaun hospital.

Antara nasihat berkenaan termasuk meminjam gaun dari hospital lain, memakai ‘coveralls’ yang menutup seluruh badan, serta memakai apron plastik sebagai alternatif.

Setakat Jumaat, UK merekodkan 5,599 kes baharu yang menjadikan jumlah kumulatif adalah 108,692 serta 14,576 kematian akibat COVID-19.

Foto: AP
Doktor UK Dinasihat Pakai Apron Plastik Doktor UK Dinasihat Pakai Apron Plastik Reviewed by Hilal Azmi on April 18, 2020 Rating: 5

No comments