Home Top Ad

Membikin filem dalam 'darurat'.


Saya cintakan fotografi, muzik dan lakonan. Tiga benda ini adalah elemen penting yang membuatkan hari-hari saya bahagia.

Sebenarnya dari dahulu saya suka menikmati dan berkongsi gambar-gambar yang cantik, muzik-muzik yang indah dan minat dalam seni lakon memang mendalam. Tapi jalan hidup saya tidak dibawa ke salah satu cabang itu. Saya ditakdirkan menjadi wartawan.

Tujuh tahun berkhidmat bersama Astro AWANI, tahun ini cukup berbeza. Walaupun dunia dilanda musibah pandemik, industri media tetap terus memacu laju tapi dengan langkah yang berbeza.

Saya ditugaskan untuk bekerja dari rumah (work from home) dan menghasilkan kandungan-kandungan digital untuk Rancak TV. Tidak dapat bebas keluar melihat dunia secara tidak langsung mengehadkan kreativiti untuk menghasilkan kandungan berbeza setiap hari. Maka masa-masa terluang diisi dengan mendengar muzik, menonton filem dan membaca buku yang ada.

Pandemik COVID-19 membataskan pergerakan dan perhubungan kita, berlarutan hingga tiba hari mulia yang selalunya dirayakan bersama-sama. Kali ini kita sendiri, ada yang bersama hanya anak-anak dan isteri. Ada yang seorang diri.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia (mungkin), kita tidak dibenarkan untuk balik kampung meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Raya tahun ini memang lain.

Antara kita raga terpisah jauh, tapi teknologi hari ini membolehkan jiwa kita terus berhubung. Kecanggihan ciptaan masa kini juga membolehkan kita melakukan banyak perkara dalam keadaan terbatas.

Nikmat teknologi yang dimiliki pada ketika kemanusiaan diuji - pada pandangan saya ini adalah satu resepi untuk meneroka dunia baharu yang sebelum ini tertutup dengan banyak peraturan yang kebanyakannya tak munasabah.

Saya membikin filem pendek 'Jauh Tapi Dekat' sebagai manifestasi kepada sebuah rasa - tidak dapat balik kampung berhari raya, dan rasa geram terhadap limitasi yang selama ini membelenggu diri manusia daripada menjadi diri sendiri.

"Kau tak boleh buat ini, kau tak boleh buat itu. Kau kena buat begini, begini cara yang betul." Saya tak pernah percaya terhadap 'betul dan salah'. Peraturan itu dibuat manusia supaya senang dikawal mindanya daripada mencapai potensi sebenar diri yang dicipta tuhan dengan bakat-bakat unik. Pada saya, dunia ini hanya ada baik dan buruk.

Membikin filem dengan telefon bimbit bagi saya tidak salah, tetapi mungkin ada buruknya, seperti gambar tidak cantik, tidak sinematik dan sebagainya. Tapi bukankah filem itu falsafahnya adalah memberi pengalaman kepada minda dan rohani manusia melalui audio dan visual?

Saya mungkin tidak membuat perkara yang betul, tetapi saya cuba membikin dengan cara terbaik dalam sumber dan kelengkapan yang terhad. Saya ada telefon bimbit berteknologi terkini, dan saya ada cerita. Cukup kan?

Suka tidak suka tujuh tahun menjadi wartawan yang sebenarnya bukan cita-cita saya banyak mengajar tentang bagaimana untuk bercerita dengan baik. Kata-kata bekas Ketua Editor Astro AWANI, Suhaimi Sulaiman cukup erat saya pegang, "Di sini, anda bukan wartawan, tetapi tukang cerita."

Maka ini cara saya bercerita, dengan rasa dan keberanian untuk melakukan perkara di luar kebiasaan. Kata orang, "Tak kisah apa cara, yang penting sampai."

'Jauh Tapi Dekat' merupakan sebuah filem pendek dibikin sepenuhnya oleh saya dengan bantuan isteri dan rakan-rakan, menggunakan kamera telefon bimbit Apple iPhone 11. Walaupun tidak dengan kelengkapan 'profesional' membikin filem, saya cuba garap ringkas untuk mewakili rasa yang kita alami ketika ini - jauh.

Ini adalah sebuah kisah sepi dan sendiri di pagi Aidilfitri. Semoga rasa yang sama dapat dikongsi.

- Israr Khalid
25 Ramadan 1441






Membikin filem dalam 'darurat'. Membikin filem dalam 'darurat'. Reviewed by Hilal Azmi on May 18, 2020 Rating: 5

No comments