Home Top Ad

Apa manfaat pil kuda?


Apa manfaat pil kuda? TAK ADA. Ya, tajuk artikel ini memang sengaja dibuat jadi clickbait, supaya anda klik, baca dan tahu bahayanya pil kuda ini.

Pil kuda adalah sejenis dadah yang terhasil daripada campuran methamphetamine dan kafein. Walaupun diketahui meth ada digunakan dalam perubatan dengan sukatan yang sangat ketat dengan kelulusan pengamal perubatan bertauliah, ia bukan untuk kegunaan rekreasi.

Sudah namanya pun pil kuda, dadah ini asalnya dicipta untuk diberikan kepada kuda supaya memperoleh tenaga lebih untuk melakukan kerja-kerja berat. Kalau manusia yang guna, tak ke gila namanya?

Pil kuda adalah sejenis dadah yang masyhur di Asia Tenggara, dihasilkan di Segi Tiga Emas persempadanan Thailand, Myanmar dan Laos sejak 1996. Ia dipanggil 'ya ba' (pil gila), 'ya maa' (pil kuda) atau 'ya khayan' (pil kerja keras) dalam bahasa Siam.

Wilayah Shan dan sekitarnya, hub penghasilan dadah utama di Asia Tenggara.
Biasanya pil kuda dihasilkan dalam bentuk tablet kecil berwarna merah, ada kalanya kuning, jingga, hijau limau atau merah jambu. 

Oleh kerana saiznya yang kecil dan berupa seakan gula-gula, ia mudah diseludup masuk ke Malaysia menerusi sempadan Siam-Kelantan. Kerana itu penyalahgunaan dadah ini banyak dilaporkan di negeri-negeri pantai timur.

Ia mudah didapati dan dijual pada harga yang murah, selalunya RM10-RM15 sebiji. Begitu mudah sehingga kes penyalahgunaan juga menular sehingga dalam kalangan pelajar sekolah rendah!

Penggunanya akan mengalami rangsangan yang menyebabkan jantung berdegup laju bersama deruan hormon dopamin dan adrenalin lebih daripada biasa membangkitkan euphoria, lantas membuatkan diri menjadi lebih berani, agresif dan bertenaga selama 8 hingga 16 jam, namun dengan cara yang tidak sihat.

Maka seseorang yang berada bawah pengaruh pil kuda tidak akan tidur dan makan sehingga kesan dadah itu hilang. Selalunya sekurang-kurangnya selepas 24 jam pengambilan, baru si pengguna boleh tidur.

Nah hancur gigi dek pil kuda. Mau?
Kesan pasca-pengambilan membuatkan badan merasa letih yang teramat dan kemurungan. Ini kerana sudah tiada deruan adrenalin dan dopamin yang memberi rasa yakin dan seronok apabila kesan pil kuda hilang.

Maka ia akan mewujudkan ketagihan untuk merasakan lagi sensasi itu, lalu pil akan dimakan lagi dan lagi. Sudah pasti, segala apa yang diambil secara berlebihan, waima nasi sekalipun, akan memudaratkan badan. Inikan pula bahan kimia sintetik.

Lama-lama dengan pengambilan kerap, otak jadi jahanamlah. Paranoia, kegelisahan, halusinasi yang katanya macam ada benda merayap-rayap di bawah kulit, insomnia, kemurungan dan kecenderungan bunuh diri akibat kerosakan saraf otak kesan pengambilan pil kuda.

Kadar degupan jantung dan tekanan darah yang tinggi boleh menyebabkan salur darah terutamanya di dalam otak pecah (angin ahmar, strok), lapisan dalam jantung dan tisu paru-paru akan meradang, keguguran rambut, kulit merekah, kerosakan hati dan buah pinggang, jangkitan salur tekak, sawan dan gigi pun boleh pecah kesan tindak balas kimia pil tersebut.

Syok memang syok (katanya lah), tapi sanggup jahanamkan badan untuk syok yang sekejap?

Rancaklah secara sihat dan berhemah. Jangan main pil. Rancak TV peduli.

Apa manfaat pil kuda? Apa manfaat pil kuda? Reviewed by Hilal Azmi on June 18, 2020 Rating: 5

No comments