Home Top Ad

Arsenal pernah diranap Harimau Malaya


Pada 11 Mei 1975, lebih 30,000 penonton memenuhi Stadium Merdeka, Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan persahabatan Malaysia menentang pasukan Divisyen 1 England, Arsenal.

Malam itu, The Gunners disentak dengan dua gol cemerlang daripada penyerang legenda tiada galang ganti, Mokhtar Dahari.

Gol pertama hadir tiga minit sebelum tamat babak pertama, apabila Mokhtar mengejar bola hantaran lambung daripada kapten, Soh Chin Aun lalu memecut melepasi pertahanan lawan, Terry Mancini dan meledak.

Kemudian pada minit ke-72, gandingan satu dua Isa Bakar-Mokhtar membawa bola mara sebelum rembatan dilepaskan dari jarak 12 ela menewaskan penjaga gawang, Geoff Barnett.

Keputusan akhir 2-0 itu menjadikan Harimau Malaya sebagai pasukan pertama yang menewaskan Arsenal dalam siri jelajah pra-musim mereka.

Pada perlawanan kedua berlangsung di hadapan 20,000 penyokong yang membanjiri Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 13 Mei 1975.

Orang London hampir dimalukan sekali lagi apabila Isa Bakar menyumbat gol pembukaan di lewat permainan pada minit ke-75, tapi Brian Kidd sempat menyelamatkan maruah Arsenal dua minit sebelum tamat perlawanan untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Kunjungan Arsenal pada 1975 itu adalah yang kedua selepas kali pertama berkunjung ke Malaysia pada 1967 untuk menentang Asian All-Stars. Seorang pemain negara, Sardar Khan disenarai dalam pasukan tersebut.



Arsenal pernah diranap Harimau Malaya Arsenal pernah diranap Harimau Malaya Reviewed by Hilal Azmi on June 25, 2020 Rating: 5

No comments