Home Top Ad

Asal usul lagu Negaraku bukan daripada Terang Bulan




RAMAI yang menganggap lagu kebangsaan kita 'Negaraku' diambil daripada lagu keroncong tempoe doeloe 'Terang Bulan'. Ia sekaligus mencetuskan bukan perdebatan sihat, tetapi sedihnya perbalahan antara dua negara bersaudara, Malaysia dengan Indonesia.

Daripada bertikam lidah, ada baik kita sama-sama cari jawapannya. Bukan soal siapa ceduk siapa, tetapi untuk mengenali apa yang mengaitkan antara kita dengan irama lagu itu.

Menurut catatan bekas Pengarah Jabatan Arkib Negara, Tan Sri Mubin Sheppard dalam Malaya in History terbitan Julai 1960, ia sebenarnya didakwa berasal dari irama lagu lama  La Rosalie ciptaan komposer Perancis, Pierre-Jean de Béranger (1780-1857, gambar di atas). 

Semasa mantan Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II dibuang negeri ke Mahé di Kepulauan Seychelles, lagu ini sering dimainkan pada waktu petang oleh sekumpulan pancaragam di perkarangan rumah baginda di tepi laut.

Sultan Abdullah dibuang negeri kerana didakwa terlibat dalam komplot pembunuhan James Wheeler Woodford (J.W.W.) Birch pada 1875. Gabenor British Pertama ke Perak itu mati di tangan Datuk Maharaja Lela kerana kebiadabannya terhadap orang Melayu, antaranya melangkah tanpa rasa bersalah masuk ke istana dengan memakai kasut.

Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Juga Sultan Perak paling singkat di takhta, hanya 10 bulan kemudian dibuang negeri pada 1876. Sumber (orangperak.com).

'La Rosalie' adalah lagu yang menjadi siulan di Seychelles, kepulauan jajahan Perancis yang menjadi persinggahan pelaut antara Barat dengan Timur.

Raja Chulan, anak Sultan Abdullah sering datang ke Mahé untuk melawat ayahandanya, dan tidak terlepas daripada mendengar lagu itu yang dimainkan pancaragam setiap minggu. Irama itu kemudian dibawa pulang dan diperkenalkan kepada kekandanya, Raja Mansur yang tidak pernah ke pulau itu.

Ketika Sultan Perak ke-28, Sultan Sir Idris Murshidul Azam Shah (Idris I) dijemput ke England untuk menghadiri istiadat pertabalan Raja Edward VII pada 1901, Raja Chulan mengiringi baginda dalam rombongan itu.

Menjadi tradisi lagu-lagu negeri jajahan British dimainkan pancaragam menyambut ketibaan pembesar negara di England. Memandangkan itu kali pertama mereka hadir jemputan rasmi diraja British, maka dicadangkan Raja Chulan dengan perkenan Sultan Idris I supaya dimainkan lagu La Rosalie dimainkan.

Raja Chulan (kiri) bersama Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Shah I di London, 1906. Sumber (Wikipedia).

Pulang ke tanah air, irama itu rasmi dijadikan lagu negeri Perak dengan tajuk 'Allah Lanjutkan Usia Sultan', yang liriknya dikarang oleh Raja Chulan dan abangnya Raja Mansur.

Ia sekaligus menjadi lagu rasmi negeri Perak dan menjadi negeri pertama yang mempunyai state anthem

Selain menjadi identiti penting negeri Perak, siulan La Rosalie yang dibawa para pelaut kemudian sampai ke bahagian lain Kepulauan Melayu dan melekat di Indonesia, yang ketika itu bawah kuasa Belanda. Ia menjadi lagu 'Terang Bulan' dan popular di alam Melayu (Malaya, Singapura, Indonesia) sekitar 1910-an dan 1920-an.

Album penyanyi Indonesia, Rudy van Dalm terbitan 1963 dengan lagu 'Terang Boelan'. Sumber (discogs.com).

Selepas Semenanjung Tanah Melayu merdeka pada Ogos 1957, Perdana Menteri Pertama, Tuanku Abdul Rahman mengadakan pertandingan mencipta lagu kebangsaan. 514 penyertaan diterima, namun tidak ada satu pun karya yang dirasakan sesuai.

Jawatankuasa pemilihan lagu kebangsaan kemudian mencadangkan satu lagi cara dengan membuat penilaian panel terhadap lagu-lagu negeri di Malaya untuk mencari mana satu paling sesuai mewakili Persekutuan Tanah Melayu. 

Irama lagu negeri Perak dipilih, dengan liriknya ditulis semula menjadi 'Negaraku'.

Jadi tak kisahlah siapa ceduk siapa, akarnya daripada lagu orang putih juga.


Asal usul lagu Negaraku bukan daripada Terang Bulan Asal usul lagu Negaraku bukan daripada Terang Bulan Reviewed by Hilal Azmi on June 12, 2020 Rating: 5

No comments