Home Top Ad

Helang harpy, burung yang makan monyet


Helang harpy (Harpia harpyja) adalah sejenis burung helang yang terbesar di dunia, mendiami hutan di Mexico, Amerika Tengah dan Selatan.

Saiznya sekitar 89 sentimeter ke 1 meter tinggi dengan berat antara 3.8 ke 9 kilogram. Jika dibuka sayapnya, ia boleh mencecah sehingga dua meter lebar!

Ia jauh lebih besar berbanding helang kepala putih yang menjadi burung rasmi Amerika Syarikat, yang hanya setinggi sekitar 94cm dan seberat 6.35 kg.

Kukunya pula sepanjang 5 inci (13cm), paling panjang antara semua spesis helang. Kuku beruang grizzly pun hanya sekitar 2 ke 4 inci sahaja.

Cengkamannya sekuat tekanan 50kg, hampir sama dengan kekuatan gigitan anjing Rottweiler. Ia juga mampu membawa terbang beban seberat 8kg.

Antara diet helang harpy adalah haiwan-haiwan yang sesuai dengan kebesarannya, iaitu arnab, sloth, ular, burung nuri, dan juga monyet. Bagaimanapun, helang harpy tidak makan setiap hari dan boleh bertahan sehingga seminggu.

Helang yang menjadi burung rasmi negara Panama ini boleh hidup sehingga 40 tahun dan hanya membiak setiap 2-3 tahun.

Namanya diberi sempena mitos Greek, harpy, makhluk separa manusia separa burung yang menjadi personifikasi kepada angin ribut.


Helang harpy, burung yang makan monyet Helang harpy, burung yang makan monyet Reviewed by Hilal Azmi on June 09, 2020 Rating: 5

No comments