Home Top Ad

Pelajar PhD temui cara cetak gambar guna alga





Ada macam-macam cara untuk mencuci gambar (teknik menghasilkan foto dari negatif, dalam fotografi filem), tapi pernah tak dengar orang cetak gambar guna alga?

Eksperimen ini bukan dibuat oleh jurufoto profesional, tetapi seorang pelajar PhD jurusan neurosains bernama Russell Marx yang saja suka-suka meneroka kemungkinan yang boleh terhasil daripada ilmu sains yang dipelajarinya.

Marx terjumpa beberapa filem lama di makmal neurosains tempat dia bekerja, lalu dibeli sebuah kamera untuk mencubanya. Pada masa sama juga, dia mendapat sebuah pembesar imej lama atau enlarger daripada atuknya.

Panjang lah akal anak muda cerdik ini untuk mencari jalan bagaimana untuk mencetak foto-foto yang telah diambil tanpa 'darkroom' dengan kelengkapan mencuci gambar yang lengkap.

"Saya teringat dalam satu kelas biologi dahulu kami memerhatikan sintesis kanji pada tumbuhan dengan meletakkan potongan kertas di atas permukaan daun," katanya kepada My Modern Met.




Sintesis kanji pada daun hijau terjadi apabila bahagian daun yang didedahkan kepada cahaya akan menjalani proses fotosintesis dan bertindak balas dengan iodin yang disapu pada permukaannya akan bertukar menjadi gelap. Manakala bahagian yang terlindung di bawah potongan kertas itu akan kekal begitu.

Menyedari proses pada daun memakan masa yang agak lama, Marx mencubanya ke atas alga. Mula-mula dicuba terhadap spirulina, tetapi kerana mobiliti pantasnya dan pertumbuhan yang sukar dikawal, dia beralih ke spesis Chlorella vulgaris. Memandangkan alga spesis itu lebih berat daripada air, ia akan jatuh ke permukaan piring petri apabila ia mula membiak.

Selepas seminggu mendedahkan campuran spesis alga itu dengan iodin, ia mula menampakkan hasil yang memberangsangkan. Pada bahagian yang terdedah kepada cahaya yang menembusi kawasan yang lebih cerah pada negatif filem itu, alga menumbuh lebih gelap berbanding kawasan yang mendapat kurang cahaya.










Dengan hasil yang hebat itu, kini Marx sedang memikirkan bagaimana untuk mengekalkan imej yang terhasil daripada pertumbuhan alga itu memandangkan ia sekarang cuma terapung-apung di dalam piring petri itu dan mudah terjejas.

Antara ideanya adalah dengan menyedut keluar air daripada piring petri dan mengisi resin ke dalamnya, juga kemungkinan membiakkan alga di dalam gel.
Pelajar PhD temui cara cetak gambar guna alga Pelajar PhD temui cara cetak gambar guna alga Reviewed by Hilal Azmi on June 05, 2020 Rating: 5

No comments