Home Top Ad

Penyokong Liverpool di India kongsi kegembiraan bersama masyarakat


Kejayaan Liverpool menjulang Liga Perdana Inggeris musim ini selepas 30 tahun kempunan semestinya diraikan dengan penuh emosi oleh penyokongnya di serata dunia.

Di Liverpool, mereka membanjiri Anfield Road tatkala wisel penamat perlawanan antara Chelsea dengan penghuni tangga kedua, Manchester City ditiupkan, mengesahkan kejuaraan milik Liverpool biarpun musim 2019/2020 masih berbaki tujuh perlawanan.

Suar merah dibakar, nyanyian dilaungkan, gegak gempita seluruh kota meraikan pengakhiran penantian tiga dekad yang memeritkan. Namun keesokan paginya begitu menyedihkan, Anfield Road dipenuhi sampah sarap dek kegilaan parti malam itu.

Begitupun ia hanya sebahagian kelompok penyokong di Liverpool yang tidak patut diikut. Cogan kata 'WE ARE LIVERPOOL, THIS MEANS MORE' membawa mesej tanggungjawab besar menjadi penyokong sebuah kelab yang penuh dengan sejarah dan prestij, masih didukung penyokong The Reds di bahagian lain di dunia.

Bagi meraikan kegembiraan susulan kejayaan kelab sanjungan mereka menjuarai gelaran yang sekian lama didambakan itu, kumpulan penyokong di Mangalore, India mengadakan satu inisiatif memberi makanan percuma kepada golongan miskin dan memerlukan.

Kumpulan yang bergelar Mangalore Kop atau lebih dikenali sebagai Kudla Kop, menyediakan kira-kira 900 pek makanan dengan kerjasama The Hope Foundation dan Team MK (Munna Kammardi) untuk meringankan beban mereka yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

Menurut pengguna Twitter yang menciap tentang hal ini dengan nama @ranjan_rants, mereka cuba untuk memperluas usaha yang telah dijalankan oleh bek kiri Liverpool sendiri, Andy Robertson bersama LFC Food Bank di sana.

"Kami ingin berterima kasih kepada Fan Supporting Foodbanks dan Spirit of Shankly (kesatuan penyokong Liverpool FC) kerana menginspirasikan kami. Kami harap dapat terus menjalankan usaha ini dengan lebih kerap," katanya dalam bebenang ciapannya.

Menurutnya lagi, usaha murni kecil ini yang menjadikan kemenangan liga musim ini lebih bermakna dan menjadikan Liverpool sebuah kelab yang istimewa dan yang terbaik di dunia.

You'll Never Walk Alone.

Penyokong Liverpool di India kongsi kegembiraan bersama masyarakat Penyokong Liverpool di India kongsi kegembiraan bersama masyarakat Reviewed by Hilal Azmi on June 29, 2020 Rating: 5

No comments