Home Top Ad

RancakX - Trofi-trofi termahal dunia


Dalam ini dunia ada macam-macam kejohanan dan anugerah berprestij, dan trofinya menjadi rebutan pasukan-pasukan dan individu bertanding.

Biarpun hanya sebuah trofi keras tak ada apa fungsi, namun ia melambangkan maruah, keunggulan dan kemasyhuran kepada sesiapa yang berjaya menjulangnya.

Semestinya, prestij sesebuah trofi dibentuk dengan pembuatannya menggunakan bahan berkualiti tinggi yang menjadikan nilainya mahal, sesuai dengan reputasi kejohanan dan anugerah yang diwakilinya.

RancakX menyenaraikan 10 ('X' itu nombor sepuluh dalam tulisan Romawi, bukan 'X' yang itu) trofi-trofi kejohanan termahal di dunia, berdasarkan nilai bahan pembuatan bersama insurans.

10. Trofi Larry O'Brien ($13,500/RM57,678)
Ini adalah trofi yang dianugerahkan kepada pemenang final National Basketball Association (NBA) sejak 1977. Namanya sempena Pesuruhjaya NBA yang berkhidmat dari 1975 hingga 1984. Tingginya 61cm, beratnya 6.6kg dan diperbuat daripada perak sterling, vermeil dan saduran emas 24K.


9. Trofi Henri Delaunay ($15,000/RM64,087)
Dianugerahkan kepada juara Kejohanan Euro UEFA bermula 1960, namanya sempena Setiausaha Agung UEFA yang pertama yang mengilhamkan Kejohanan Eropah. Tingginya 61cm, beratnya 8kg dan diperbuat daripada perak sterling.


8. Trofi Commissioner ($19,309/RM82,497)
Trofi ini menjadi rebutan pasukan yang bersaing dalam Major League Baseball (MLB), pertama kali diperkenalkan pada 1967. Tingginya 61cm, beratnya 14kg dan diperbuat daripada perak sterling sementara 30 batang benderanya disadur emas dan bolanya di tengah adalah perak dengan jahitan daripada vermeil 24K.



7. Trofi Piala Stanley ($23,478/RM100,309)
Ini adalah antara trofi berprestij tertua di dunia, diperkenalkan pada 1892 untuk dipersembahkan kepada juara National Hockey League (NHL). Pada ketinggian 89.5cm dan seberat 15.6kg, trofi yang diperbuat daripada perak ini juga antara terbesar di dunia. Ia dinamakan sempena Lord Stanley of Preston yang memulakan saingan hoki ais di Kanada.



6. Trofi Piala Dunia Kriket ICC ($30,000/RM128,175)
Diperkenalkan pada 1999, trofi ini dijulang oleh juara dunia ICC. Rekaannya dibentuk daripada tiga bahagian perak yang menjulang glob emas, mewakili cara kriket dimainkan iaitu batting, bowling dan fielding. Tingginya 60cm dan seberat 11kg.



5. Trofi Vince Lombardi ($50,000/RM213,625)
Tidak seperti trofi-trofi lain dalam senarai ini, trofi ini dibuat setiap tahun untuk disimpan oleh pasukan yang menjuarai Superbowl anjuran National Football League (NFL). Piala pertama dibuat pada tahun 1967 daripada perak sterling setinggi 56cm dan seberat 3.2kg.


4. Trofi PNB Paribas Fortis Diamond Games ($1.3 juta/RM5.5 juta)
Dianugerahkan kepada pemain tenis wanita yang berjaya memenangi kejohanan perseorangan Diamond Games sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun. Trofi seberat 4.5kg ini diperbuat daripada emas dan bolanya bertatah berlian. 


3. Trofi Borg-Warner ($1.3 juta/RM5.5 juta)
Trofi perak sterling ini mula menjadi rebutan para pelumba Indianapolis 500 sejak 1936. Namanya sempena syarikat pembekal barangan automotif, Borg-Warner yang menaja trofi tersebut. Uniknya, trofi ini diukir dengan wajah-wajah para pemenang perlumbaan ini. Juga antara trofi terbesar dunia dengan ketinggian 163cm dan berat 45kg.


2. Trofi Woodlawn Vase ($2.5 juta/RM10.68 juta)
Ini trofi yang dikejar para pelumba kuda yang bersaing dalam perlumbaan Preakness Stakes, yang diadakan pada hari Sabtu ketiga bulan Mei setiap tahun. Ia diperbuat daripada perak tulen oleh Tiffany & Co. pada 1860 dan mula dihadiahkan pada pemenang pada tahun berikutnya. Tingginya 91cm dengan berat 13.6kg.


1. Trofi Piala Dunia FIFA ($20 juta/RM85.45 juta)

Piala yang menjadi impian setiap warga Bumi. Ia direka oleh artis Itali, Silvio Gazzaniga dan diperkenalkan pertama kali pada 1974 menggantikan trofi Jules Rimet. Ia diperbuat keseluruhannya daripada emas 18-karat dengan kemasan batu malachite, berdiri setinggi 36.5cm dan berat 6.175kg. Di dalamnya kosong, kerana kalau penuh, beratnya boleh jadi 70-80kg.

RancakX - Trofi-trofi termahal dunia RancakX - Trofi-trofi termahal dunia Reviewed by Hilal Azmi on June 26, 2020 Rating: 5

No comments