Home Top Ad

Selamat Hari Jadi Mohamed Salah!

Foto: Twitter Premier League

Hari ini adalah hari jadi bagi penyerang Liverpool Mohamed Salah, seorang figura ikonik di mana pengaruhnya dikatakan lebih besar di luar padang berbanding dalam bola sepak sendiri.

Tak ramai penyokong seteru utama kelab dari Merseyside ini yang benci dengannya, sebab apa? Cristiano Ronaldo mempunyai rekod yang lebih baik tapi kenapa Mo Salah kurang 'dimaki' oleh penyokong lawan?

Penyerang bola sepak Mesir kini digelar sebagai raja baru Liverpool dan Mesir selain dianggap seorang Scouser (panggilan orang di Liverpool) dan juga seorang Muslim yang berpengaruh di seluruh dunia.

Orang yang mengenali dan pernah berjumpa dengan Mohamed Salah menyatakan beliau adalah seorang yang sentiasa bersifat rendah diri, suka berjenaka, sentiasa berfikir tentang orang lain lebih dahulu dan tidak pernah mengambil serius tentang apa yang dilaluinya.

Tahun lepas, Salah dipilih sebagai salah seorang ikon berpengaruh dunia dan menghiasi muka depan majalah TIME, bersama-sama dengan penyanyi, Taylor Swift, pelakon, Dwayne Johnson (The Rock) dan Sandra Oh, penyampai, Gayle King dan ahli politik Amerika, Nancy Pelosi.

Kenapa Mohamed Salah seorang Muslim yang berpengaruh? Beliau hanya seorang pemain bola sepak dan tidak menutup aurat?

Pada Jun tahun lepas, kajian menunjukkan Salah memberi impak besar dalam mengurangkan Islamofobia di Liverpool.

Malah, laungan penyokong Liverpool kini berbunyi, “Kalau Salah menjaringkan gol, saya akan jadi seorang Muslim juga” dapat kedengaran di Liverpool, menunjukkan betapa kuatnya pengaruh dan contoh budi perketi mulia ditunjukkan Salah, boleh mempengaruhi manusia tanpa bercakap sepatah perkataan pun di televisyen.

Sepanjang dua tahun Salah berada di Liverpool, jenayah kebencian di Merseyside jatuh 18.9 peratus daripada yang dijangka dan tweet mengenai anti-Muslim dari kalangan penyokong Liverpool turut menurun 53 peratus.

Sebelum Salah menyertai Liverpool pada pertengahan 2017, 15 juta tweet dari penyokong bola sepak di UK dan 8,600 penyokong Liverpool dikaji.

Akhbar Guardian UK juga ada menemubual seorang lelaki, yang sangat benci orang Islam, memeluk agama Islam kerana Mo Salah.

Lelaki tersebut, Ben Bird, bukan seorang penyokong Liverpool pun, sebaliknya pemegang tiket musim kelab Nottingham Forest.

Itu dunia barat, di Afrika dan Asia Barat, Salah merupakan ikon bola sepak bagi orang Muslim, berjaya membantu pasukan Mesir layak ke Piala Dunia 2018.

Pengaruhnya sangat kuat di Mesir sehingga ada yang menyenaraikan namanya sebagai salah satu calon presiden negara itu pada 2018.

Apa yang kita boleh pelajari daripada Mohamed Salah ini? Bagi saya, sentiasa senyum walaupun dikasari, jangan sombong dan sentiasa bersyukur kepada Tuhan.

Selamat Hari Jadi Mohamed Salah! Jumpa Ahad ini.

Selamat Hari Jadi Mohamed Salah! Selamat Hari Jadi Mohamed Salah! Reviewed by Hilal Azmi on June 15, 2020 Rating: 5

No comments