Home Top Ad

Selamat tinggal Bob si kucing jalanan



Dukacita memaklumkan bahawa Bob, si kucing yang menjadi watak utama cerita kehidupan James Bowen yang ditulis menjadi buku 'bestseller' A Street Cat Named Bob, meninggal dunia pada 15 Jun tempoh hari di usia 14 tahun.

Kucing berbulu jingga itu mencuri hati penduduk dunia apabila kewujudannya menjadi dorongan kepada Bowen untuk mengubah hidupnya.

Bowen, yang ketika itu sedang menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah, pertama kali menemukan Bob pada 2007 dalam keadaannya yang tercedera dan terbiar di lobi pangsapurinya di Tottenham, London.

Sepertimana yang diceritakan dalam novel tersebut, Bowen pada asalnya membiarkan kucing itu namun risau akan keadaannya yang terbiar, dia membawa kucing tersebut ke klinik untuk mendapatkan rawatan walaupun tidak berkemampuan.

Selepas dua minggu dan beransur sihat, Bowen melepaskan kucing itu ke jalanan. Tapi kucing itu mengekori Bowen ke mana sahaja dia pergi. Lalu dijaga kucing itu dan diberikan nama Bob, sempena nama watak dalam siri televisyen Twin Peaks yang diminati Bowen.

Gelagatnya yang cukup mesra dan setia dengan Bowen di dalam bas atau ketika Bowen bermain muzik di jalanan menggamit orang ramai untuk merakam dan memuat naiknya ke Youtube. Dari situ Bowen dan Bob semakin dikenali dan orang datang ke 'port' biasa mereka di Picadilly Circus dan Convent Garden untuk bertemu dengan duo ini.

Bowen kemudian menukilkan kenangan dan perjalanannya bersama Bob dan diterbitkan pada 2012 oleh Hodder & Stoughton. A Street Cat Named Bob menjadi novel terlaris, diikuti dengan penerbitan susulan iaitu The World According to Bob, A Gift From Bob, dan The Little Book of Bob. 


Kesemua buku itu terjual sebanyak 8 juta salinan dalam 40 bahasa di seluruh dunia, di United Kingdom sahaja 1.29 juta buku terjual dengan nilai 8.18 juta Pound. Malah, A Street Cat Named Bob turut difilemkan pada 2016, diikuti sekuelnya A Gift from Bob yang dijadual ditayangkan tahun ini.

Namun sayangnya, Bob sudah tiada untuk menghadiri tayangan perdana filem itu nanti. Seluruh peminatnya pastinya terkesan dengan pemergian kucing ikonik itu, tetapi tidak sepedih yang dirasakan Bowen.

"Bob menyelamatkan hidup saya. Ia semudah itu. Dia memberikan saya terlalu banyak dari sekadar teman. Dengan dia di sisi saya, saya menemui haluan dan tujuan yang selama ini kehilangan. Kejayaan yang kami capai bersama menerusi buku-buku dan filem kami adalah menakjubkan. Dia telah menemui ribuan orang, menyentuh jutaan jiwa. Tak pernah ada kucing sepertinya, dan takkan ada lagi.

"Saya rasakan seperti cahaya yang menerangi hidup saya sudah tiada. Saya takkan melupakannya," kata Bowen.

Selamat tinggal Bob. Berehatlah dalam kedamaian di kampung abadi.


Selamat tinggal Bob si kucing jalanan Selamat tinggal Bob si kucing jalanan Reviewed by Hilal Azmi on June 17, 2020 Rating: 5

No comments