Home Top Ad

Struktur keluarga serigala


Serigala hidup dalam keluarga secara semula jadinya, bukan dalam kawanan yang disertai oleh serigala lain yang tiada pertalian darah.

Sekeluarga serigala diketuai oleh sepasang 'suami isteri' yang biasa dipanggil sebagai 'alpha', dan ahli keluarganya adalah anak-anaknya.

Si ibu serigala boleh melahirkan satu hingga empat ekor anak dalam satu kandungan. Anak serigala kecil biasanya akan tinggal di dalam sarang yang dikorek di dalam tanah sehingga berusia lapan hingga sepuluh minggu.

Ibu dan bapa serigala yang mengepalai pemburuan dan memakan dahulu hasil buruan sebelum diberi kepada anak-anak kecilnya.

Sebuah keluarga serigala tersusun hierarki mereka mengikut usia. Ibu dan bapa serigala diikuti oleh serigala-serigala muda berusia satu hingga empat tahun, beberapa ekor anak kecil dan seekor serigala omega.

Serigala omega dianggap berada pada kedudukan terbawah dalam sesebuah keluarga serigala, dikatakan paling lemah antara semua. Dia bergerak bersama tetapi tidak dekat dengan keluarga, selalunya makan paling akhir.

Bagaimanapun, serigala omega inilah yang menjadi penyeri kepada keluarga itu, apabila sifatnya yang sering memulakan sebarang permainan dan gurauan. Dan mereka selalu mengalah.

(Jadi apakah sesuai untuk dilabel serigala omega ini adalah yang 'paling lemah'? 'Food for thought' lagi!)

Apabila seseekor serigala itu sudah cukup matang, dia akan meninggalkan keluarga dan wilayahnya untuk mencari pasangan.

Hilaian serigala kesepian (lone wolf) ini akan akhirnya disambut oleh serigala kesepian lain yang sudi menjadi teman hidupnya. Mereka kemudiannya membentuk keluarga baharu.




Struktur keluarga serigala Struktur keluarga serigala Reviewed by Hilal Azmi on June 16, 2020 Rating: 5

No comments