Home Top Ad

Apa itu bintang Michelin?



Sesebuah restoran dianggap berada di martabat tinggi apabila memiliki bintang Michelin. Lantas status itu menjadi impian setiap chef dan pengusaha restoran di seluruh dunia sebagai tanda keunggulan mereka.

Apa sebenarnya bintang Michelin ini dan mengapa ia begitu penting dalam dunia kulinari?

Selain daripada masyhur sebagai pengeluar tayar terkemuka, Michelin yang berpangkalan di Paris juga terkenal dengan buku panduan tahunannya, Michelin Guide. Ia mula diterbitkan pada 1900 untuk menggalakkan kembara jalanraya (road trip) ke tempat-tempat menarik sekitar Eropah, sebagai salah satu cara meningkatkan jualan tayarnya.

Antara yang terkandung dalam buku panduan itu, selain daripada peta, panduan penggantian bahagian kereta, senarai mekanik dan hotel, adalah ulasan terhadap restoran dengan memfokuskan kualiti makanan yang dihidangkan, teknik kulinarinya serta personaliti hidangannya.

Bintang Michelin dikira pencapaian tertinggi yang didambakan oleh chef-chef terkemuka dunia, bukan mudah untuk memperolehnya. Siapa yang dapat, bersamanya kemashyuran dan prestij yang membawa kepada perkembangan bisnes sesebuah restoran itu.

Bagaimana bintang Michelin dianugerahkan?

Sesebuah restoran itu boleh menerima satu hingga tiga bintang Michelin. Satu bintang juga dikira satu penghormatan besar, bukan bererti tidak baik berbanding dua atau tiga bintang. 

Begini klasifikasinya:

  • Satu bintang - Sesebuah restoran itu dikira sangat bagus dalam kategorinya terhad dalam beberapa perkara. Restoran itu mempunyai menu berkualiti dan menghidangkan masakan berkualiti tinggi dengan konsisten, tetapi mungkin kurang elemen unik yang dapat menarik pelanggan untuk datang berulang kali.

  • Dua bintang - Sesebuah restoran itu mempunyai masakan yang sangat baik yang dihidangkan dengan cara yang unik. Restoran ini mempunyai sesuatu yang istimewa dan berbaloi untuk singgah ketika dalam kembara.

  • Tiga bintang - Restoran tersebut mempunyai hidangan yang terbaik dan berbaloi untuk dikunjungi secara khusus. Bukan satu persinggahan dalam kembara anda, tetapi restoran itu adalah destinasi utamanya. Ia menghidangkan masakan tersendiri yang dibuat dengan kesempurnaan.


Pengulas Michelin dipanggil 'inspektor' dan identiti mereka tidak boleh diketahui oleh sesiapa pun. Mereka dilarang bercakap kepada jurnalis, dan perlu merahsiakan kerja mereka termasuk daripada pengetahuan ahli keluarga sendiri.

Apabila inspektor mengunjungi sesebuah restoran, mereka akan menulis ulasan lengkap tentang pengalaman makan di restoran tersebut, termasuk kualiti makanannya, persembahannya dan penguasaan teknik kulinarinya. Dekorasi restoran, susun atur meja dan tahap perkhidmatan tidak dinilai, hanya fokus kepada makanannya sahaja.

Para inspektor ini kemudian akan berkumpul, membentangkan dapatan mereka dan berbincang untuk menentukan restoran mana yang layak menerima bintang Michelin.


Hari ini, Michelin menerbitkan buku panduan tahunan untuk hampir 30 buah negara dan banyak bandar-bandar utama seluruh dunia. Bagaimanapun, tidak semua restoran yang ada dalam buku panduan tersebut memiliki anugerah Michelin.

Bagaimana untuk menjadi inspektor Michelin?

Ada satu temubual CNN, seorang inspektor menceritakan tugasnya memerlukan dia makan sekitar 275 hidangan, dan mengembara selama tiga minggu dalam setahun. Pada masa sama, dia mempunyai deretan nama palsu supaya identitinya sebagai inspektor Michelin tidak terbongkar. Fuh macam jadi spy.

Untuk menjadi seorang inspektor, sesorang itu perlu ada sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam kulinari, pengajian makanan, pengurusan hospitaliti, bersama tidak kurang daripada 10 tahun pengalaman bekerja di hotel, restoran, atau industri lain berkaitan, dan kebolehan untuk mengembara dengan kerap dan bekerja pada waktu malam.

Kalau itu semua bukan masalah, bolehlah hantarkan resumé anda kepada mereka. Kalau dapat, andalah harapan untuk mengangkat kulinari Malaysia ke mata dunia.

Apa itu bintang Michelin? Apa itu bintang Michelin? Reviewed by Hilal Azmi on July 23, 2020 Rating: 5

No comments