Home Top Ad

Asal usul nama Proton SAGA


Hari ini, 9 Julai, 35 tahun yang lalu merupakan hari yang cukup bersejarah buat Malaysia apabila kereta nasional pertama negara, Proton Saga dilancarkan.

Ia terhasil dua tahun selepas penubuhan Proton, cetusan ilham Perdana Menteri keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pembikin kereta.

Pengeluaran Proton Saga generasi pertama adalah dibina atas landasan kereta Mitsubishi Lancer Fiore 1983, hasil jalinan usahasama Perbadanan Industri Berat Malaysia Berhad (HICOM) dengan syarikat Jepun, Mitsubishi.

Ia merupakan generasi kereta Proton yang paling lama tempoh pengeluarannya, selama 22 tahun berturut-turut sebelum digantikan dengan Saga generasi kedua pada 2008.

Kalau nama syarikat automotif negara, Proton adalah daripada Perusahaan Otomobil Nasional, nama Saga pula daripada mana? Ini menurut perkongsian Proton sendiri pada laman Facebook rasmi mereka.

Setahun sebelum ia dilancarkan, ada satu 'Peraduan Menamakan Kereta Nasional' dilancarkan di seluruh negara. Daripada lebih 100,000 penyertaan diterima, nama yang dicadangkan oleh Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang yang dipilih sebagai pemenang.

Staf Sarjan Ismail Jaafar bersama kereta Proton Saga yang dimenanginya daripada pertandingan tersebut. (Foto: Facebook Proton)

Ismail, yang juga dikenali sebagai Sarjan Saga mendapat ilham nama Saga itu katanya ketika sedang bermain Scrabble bersama rakan-rakannya. Dia ternampak perkataan 'SAFETY', 'ACHIEVEMENT', 'GREATNESS' dan 'ABILITY' pada papan permainan itu.

Dengan menyusun abjad pertama setiap perkataan itu, maka jadilah SAGA. Ia menjadi pilihan para juri kerana keringkasannya, mudah disebut oleh pelbagai bangsa, dan tidak mempunyai apa-apa makna buruk dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. 

Ia juga adalah nama sejenis pokok dengan nama saintifik Adenanthera pavonina yang tumbuh di kawasan beriklim tropika sekitar garisan khatulistiwa seperti Malaysia, Brazil, Costa Rica, Cuba dan kawasan-kawasan yang sama iklim dengannya.

Buah pokok tersebut semacam petai, dan bijinya berwarna merah terang. Selalu dilihat digunakan oleh kanak-kanak pra-teknologi sebagai alat permainan dan perhiasan.

Malah, nama saga itu pun berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud 'tukang emas', memandangkan biji saga pernah digunakan sebagai alat menyukat emas pada zaman dahulu kala.

Dalam perubatan tradisional, kulit pokok saga mujarab untuk merawat penyakit kusta kerana mengandungi sejenis kimia yang bertindak sebagai ejen anti-bakteria.

'Saga' dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan Norse Lama yang bererti sebuah prosa/hikayat purba masyarakat Nordic berakar di Iceland dan meluas hingga ke negara-negara Scandinavia. Orang Inggeris meminjam perkataan itu sekitar kurun ke-18 untuk menggambarkan sebuah naratif epik.

Sejak sekian lama, biji saga menjadi simbol cinta dalam masyarakat China, dipanggil xiang si dou bermaksud 'mutual love bean'. Bahasa Melayunya 'kacang cinta sama'. 

Ini pokok saga. (Foto: Wikipedia)

Ini buah saga dan bijinya. (Foto: Wikipedia)


Asal usul nama Proton SAGA Asal usul nama Proton SAGA Reviewed by Hilal Azmi on July 09, 2020 Rating: 5

No comments