Home Top Ad

Bagaimana untuk kekal gembira?


Kegembiraan adalah satu keadaan mental dan emosi yang memberikan rasa bahagia, dari sekecil rasa selesa hingga keseronokan tahap tinggi atau dipanggil euphoria.

Setiap manusia matlamatnya adalah mencari kebahagiaan abadi, rasa senang yang berpanjangan. Namun kegembiraan tidak mungkin dapat dinikmati sebaiknya tanpa ada penderitaan. Rasa gembira hadir dan dirasai apabila kita mencapai kejayaan meloloskan diri daripada sesuatu cabaran.

Kata Sigmund Freud, kebarangkalian mencapai kebahagiaan adalah terhad kerana kita dicipta supaya kita berupaya memperoleh kegembiraan tahap tinggi hanya daripada sesebuah kontras, dan sangat sedikit daripada keadaan sedia ada sesebuah perkara (state of things).

Ertinya kebahagiaan datang dari pergerakan diri kita sendiri, rohani atau mental yang mendorong kepada rasa senang kepada jasmani kita. Contohnya, kita gembira kerana membeli kasut baharu. Daripada tak ada menjadi ada. Kita rasa bahagia apabila kita berjaya kuruskan badan. Daripada berisiko tinggi diserang penyakit kepada cergas dan sihat.

Secara kimianya, rasa gembira dicetuskan apabila tubuh menghasilkan empat jenis bahan kimia utama - dopamine, serotonin, endorphin dan oxytocin. Keempat-empat ini bertanggungjawab memberikan pelbagai bentuk rasa gembira seperti selesa, seronok, tenang, riang, puas, sedap, lega, dan terharu.

Banyak cara untuk mencetuskan penghasilan bahan-bahan kimia ini. Tidak kurang yang memilih jalan pintas dengan mengambil dadah. Benda yang dapat cepat, hilangnya pun cepat, dan tubuh terus mendambakan rasa bahagia yang sama maka diambil berulang-ulang kali sehingga keterlaluan dan akhirnya menjahanamkan diri.

Tanpa penggunaan bahan luar, sebenarnya kegembiraan tahap tinggi dapat dikecapi dengan disiplin diri yang tinggi dalam mengamalkan rutin yang secara semula jadi merembeskan keempat-empat jenis bahan kimia gembira yang disebutkan. Ini antaranya:

DOPAMINE (Bahan kimia ganjaran & nikmat)
- Menyelesaikan tugasan
- Menjalankan aktiviti penjagaan diri
- Makan (berpada ya)
- Meraikan kemenangan-kemenangan kecil.

OXYTOCIN (Hormon cinta)
- Bermain dengan kucing
- Bergurau dengan bayi
- Berpegangan tangan
- Memeluk orang tersayang
- Memberi pujian kepada orang lain

SEROTONIN (Pengimbang 'mood')
- Bertafakur/meditasi/berzikir
- Berlari
- Mendedahkan diri di bawah sinar matahari
- Berjalan di dalam hutan & alam semula jadi
- Berbasikal

ENDORPHIN (Pemusnah kesakitan)
- Bergelak ketawa
- Menghidu bauan minyak pati (essential oil)
- Coklat hitam
- Bersenam
- Menonton komedi

Demikian hanyalah beberapa contoh untuk anda cuba dan jadikan amalan seharian. Segalanya bergantung kepada diri anda sendiri - lain orang, lain cara. Asalkan ia membawa kepada kebaikan dan tidak memudaratkan diri.

Semoga kita dapat mencapai kebahagiaan abadi dalam kehidupan ini dan seterusnya, dengan menjaga sebaiknya diri sendiri dan orang di sekeliling kita. RancakTV peduli.

Bagaimana untuk kekal gembira? Bagaimana untuk kekal gembira? Reviewed by Hilal Azmi on July 21, 2020 Rating: 5

No comments