Home Top Ad

Beruang oh beruang, kenapa engkau gemuk?




Walaupun kempen pencarian beruang tergemuk atau Fat Bear Week di Taman Negara dan Pusat Pemeliharaan Katmai, Alaska akan bermula pada Oktober, stok makanan bagi spesis beruang kedua terbesar itu sampai lebih awal, sekali gus mempercepatkan musim hibernasi.



Gelagat beruang-beruang membuat persediaan menjelang musim sejuk boleh dinikmati secara maya melalui penstriman video di explore.org.



Ini beberapa sebab mengapa beruang perang di Taman Negara Katmai semakin gemuk.


Apa yang buat beruang Katmai semakin gemuk?

Jumlah salmon sockeye di Sungai Brook, tempat beruang Katmai mencari makan meningkat dengan ketara pada tahun ini.


Apabila jumlah ikan salmon meningkat, begitu juga berat badan si beruang yang tidak teragak-agak untuk menangkap makanan kegemaran mereka.





Menurut Curry Cunningham, pakar ekologi di Alaska Fairbanks University, jumlah ikan salmon yang berenang di Sungai Naknek menghala ke Sungai Brook di Katmai pada tahun 2020 ini bakal memecahkan rekod.

Pada bulan Julai sahaja, sejumlah 3.4 juta ikan telah dikesan berenang di sungai berkenaan, di mana rekod sejak 1991 ialah 3.5 juta ikan salmon.

Kenapa banyak sangat ikan salmon?

Katmai yang terletak di kawasan pergunungan di pesisiran Teluk Alaska bukan sahaja merupakan habitat kepada beruang, namun juga merupakan kawasan pembiakan bagi spesis ikan salmon.


Menurut Cunningham, ekosistem tersebut tidak terganggu dengan aktiviti manusia yang mana tiada empangan dibina yang boleh menyekat pergerakan salmon dan tiada pusat perindustrian yang mencemarkan air sungai.


Bagaimanapun ekosistem menghadapi ancaman!

Pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan untuk pembinaan lombong tembaga dan emas di kawasan berkenaan, sekali dengan loji rawatan air, jalan raya untuk lori, dan saluran paip, semua yang akan mencemarkan aliran air sungai.


Menurut pakar ekologi, biologi dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, lombong itu bukan sahaja akan memberi impak terhadap ekosistem, tetapi juga akan merugikan pendapatan memancing di Bristol Bay.



Kini, jumlah ikan di Bristol Bay masih lagi banyak, oleh itu ekosistem dan industri perikanan Alaska berkembang dengan pesat.



Menurut Cunningham, aktiviti memancing di Bristol Bay tidak menyebabkan makanan beruang berkurangan kerana ia dikawal kerajaan Alaska.

Apa kesan pemanasan global?

Pemanasan global akan turut meningkatkan suhu air laut, yang akan merencatkan pembiakan salmon yang merupakan spesis air sejuk.

Hari ini, kita masih beruntung kerana dapat membaca laporan bahawa beruang Katmai sihat dan gemuk manakala ekosistem di Katmai terus berkembang maju, namun kita tidak tahu berapa lama lagi bumi kita boleh bertahan.

Oleh itu, peliharalah alam sekitar kita untuk mengekalkan keindahan alam.

Foto: Instagram @exploreorg




Beruang oh beruang, kenapa engkau gemuk? Beruang oh beruang, kenapa engkau gemuk? Reviewed by Hilal Azmi on July 21, 2020 Rating: 5

No comments