Home Top Ad

Bilik mandi kaca permaisuri Mughal di Agra Fort


Kubu Agra, atau Agra Fort, merupakan binaan kota kubu yang menempatkan pusat pemerintahan empayar Mughal yang menguasai sebahagian besar India dari tahun 1556 ke 1857.

Di atas tinggalan kubu purba Badalgarh, Maharaja Mughal ketiga, Akbar-i-Azam mengarahkan lebih 4,000 pekerja untuk mendirikan kubu baharu yang siap pada 1573, selepas lapan tahun pembinaan.

Ia terus menjadi pangkalan utama empayar Islam itu selama beberapa generasi termasuk Shah Jahan yang masyhur, menduduki tampuk pemerintahan sebagai Maharaja Mughal kelima pada 1627.

Shah Jahan terkenal atas sikapnya yang suka membiayai pembinaan mercu tanda yang tinggi nilai keseniannya, yang menjadi bahagian-bahagian penting dalam kota kubu tersebut dan kekal untuk tatapan hari ini.

Tidak seperti datuk dan bapanya, Shah Jahan menggemari batu marmar. Ada beberapa bahagian yang telah dibina sebelumnya diruntuhkan supaya baginda dapat membina kompleks baharu dengan batu putih itu.

Antaranya kompleks Sheesh Mahal, bermaksud 'istana kaca', sebagai tempat istirahatnya yang dibuka untuk kunjungan para pelancong. Namun ada satu tempat di dalam kompleks itu yang berkunci, hanya dapat dimasuki jika anda bertuah.

Ia merupakan bilik mandi permaisuri yang tertutup tanpa langsung dimasuki cahaya dari luar. Lilin dinyalakan, dan cahaya akan dibias dan dipantulkan oleh cermin kaca yang memenuhi dinding dalam bilik mandi itu.

42 lilin atau pelita diletakkan pada teduhan kecil yang mana di atasnya mengalir air terjun masuk ke dalam kolam tadahan sebelum mengalir ke kolam mandian utama. 

Api pelita atau lilin yang menyala itu dikatakan menghangatkan air yang mengalir perlahan ke dalam kolam buatan marmar untuk sang permaisuri berendam.

Diceritakan juga, para hamba akan mengetuk-ngetuk dinding dari luar, menghasilkan bunyi begema dalam akustik tertutup bilik mandi itu sebagai pemecah hening dan hiburan permaisuri semasa berendam.

Saya adalah antara yang bertuah dalam masuk ke dalam bilik mandi tersebut semasa kunjungan ke Agra Fort bersama keluarga beberapa tahun lepas. Cerita itu dikisahkan oleh pemandu pelancong kami yang menawarkan kemasukan secara senyap dengan sedikit bayaran tambahan.

Berbaloi membayar pengalaman yang tidak semua orang dapat. Kerana terlalu asyik melayankan visual pantulan cahaya dan cerita dahulu kala, saya terlupa untuk merakamkan sebarang video atau foto sebagai kenangan.

Oleh sebab tempat itu dikatakan rahsia, tidak banyak maklumat mengenainya di internet. Nasib baik ada jumpa satu video di Youtube oleh GlobalCAD, merakamkan bagaimana rupanya di dalam bilik yang cukup mempersonakan itu.

Tonton di sini. Beginilah kurang lebih, kerana melihat di mata tak sama dengan pengalaman seluruh deria berada di sana:




Di 42 ruang kecil itu diletakkan lilin/pelita. Di atasnya mengalir perlahan air jatuh ke dalam kolam tadahan yang berpagar. Kemudian apabila penuh, air akan mengalir menerusi parit cetek masuk ke kolam mandi (yang berada di luar frame sebelah kiri bawah. (Foto: Pinterest)

*Untuk berpeluang memasukinya, masuk dengan pemandu pelancong yang penuh bersidai di pintu masuk utama Kota Agra (Delhi Gate). Kalau masuk sendiri agak mustahil, sebab depan pintu bilik berkunci itu tak ada papan tanda atau orang jaga. 

Agra Fort dari pintu masuk utamanya, Delhi Gate pada 2013. (Foto: Israr Khalid)
Bilik mandi kaca permaisuri Mughal di Agra Fort Bilik mandi kaca permaisuri Mughal di Agra Fort Reviewed by Hilal Azmi on July 13, 2020 Rating: 5

No comments