Home Top Ad

Gunung tertinggi di dunia bukanlah Everest


Umum mengetahui bahawa puncak gunung tertinggi di dunia adalah Everest pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut. 

Titik Bumi paling tinggi yang terletak di banjaran Himalaya itu ditawan pertama kali oleh pendaki New Zealand, Edmund Hillary bersama pendaki Sherpa, Tenzing Norgay pada 28 Mei 1953.

Asalnya orang Tibet memanggil gunung itu Qomolangma, yang bererti 'Ibu Suci'. Selain itu aia juga dipanggil Sagarmatha (Dewi Langit) dan banyak lagi nama panggilan orang tempatan terhadap gunung maha besar itu yang dianggap suci. Kemudian British datang dan membuat tinjauan bermula tahun 1802, lalu menamakan puncak tertinggi itu 'Peak XV'.

Pada 1856, ia diberi nama baharu 'Everest' oleh Ketua Juruukur British India ketika itu, Andrew Waugh sempena mentornya, Sir George Everest yang menduduki kerusi jawatan tersebut sebelumnya. Atas alasan, "tidak ada satu nama yang umum digunakan orang tempatan."

Bagaimanapun, George Everest sendiri menolak penggunaan namanya sepertimana dinyatakannya kepada Royal Geographical Society pada 1857 bahawa 'Everest' tidak boleh ditulis dalam bahasa Hindi malah sukar untuk disebut oleh orang natif India. Namun akhirnya nama tersebut tetap dipakai.

Sudah 300 nyawa mati dalam misi menawan Everest, dan mayat mereka bersemadi di sana. (Foto: Wikipedia)

Beberapa puncak tertinggi selepas Everest berada di banjaran yang sama, iaitu puncak kedua tertinggi dunia, K2 di dalam wilayah Pakistan setinggi 8,611 meter, diikuti Kanchengjunga di Nepal/India (8,586 m).

Kemudian ada Seven Summit, iaitu tujuh puncak tertinggi di setiap tujuh benua dunia. Paling rendah adalah Puncak Jaya di Indonesia mewakili Oceania setinggi 4,884 meter (walaupun Indonesia berada dalam benua Asia), diikuti Vinson Massif di Antartika (4,892 m), kemudian Gunung Elbrus di Rusia bagi benua Eropah (5,642 m).

Keempat tertinggi adalah Kilimanjaro di Tanzania bagi benua Afrika (5,895 m), kemudian gunung Denali di Alaska, Amerika Utara (6,190.5 m), diikuti Aconcagua di Argentina bagi Amerika Selatan (6,962 m) dan yang tertinggi antara ketujuh-tujuh ini semestinya Everest.

Bagaimanapun tuan-tuan dan puan-puan, ia adalah ketinggian yang dikira dari paras laut. Sekiranya dikira betul-betul dari pangkalnya, Everest jatuh di tempat kedua.

Ini kerana gunung tertinggi di muka Bumi ini sebenarnya adalah Mauna Kea, yang terletak di kepulauan Hawai'i. Gambarnya di atas tu.

Dari paras laut, ketinggiannya sehingga puncak hanya 4,203.7 meter. Bagaimanapun, sebahagian besar struktur gunung setinggi 5,993 meter ditenggelami laut Pasifik. Bermakna, tinggi total gunung ini adalah 10,200 meter - 1,352 meter lebih tinggi daripada Everest.

Perbandingan ketinggian Seven Summits dengan Mauna Kea. Macam gergasi tidur dalam air, timbul sikit je. (Foto: Business Insider)

Mauna Kea merupakan sebuah gunung berapi tidak aktif berusia sejuta tahun, yang terbentuk hasil pergerakan plat tektonik Bumi di pusat panas Hawai'i di tengah-tengah laut Pasifik. Kali terakhir ia meletus adalah sekitar 4,600 tahun dahulu.

Dalam mitologi Hawai'i, gunung ini dilihat sebagai tempat suci di mana bersemayamnya para dewa terutamanya bapa segala dewa bernama Wākea. Justeru namanya Mauna Kea berakar daripada Mauna a Wākea, bererti 'Gunung Wākea'.

Ia juga menjadi tempat yang paling digemari para pengkaji bintang kerana kelembapannya yang rendah, langit yang jelas tanpa gangguan awan, dan jauh daripada dicemari cahaya lain. Setakat ini sudah ada 13 balai cerapan di situ.

Bagaimanapun pembinaan balai cerap ke-14 mendapat tentangan hebat penduduk tempatan yang menganggap aktiviti manusia di situ menganggu kesucian gunung tersebut.

Gunung tertinggi di dunia bukanlah Everest Gunung tertinggi di dunia bukanlah Everest Reviewed by Hilal Azmi on July 21, 2020 Rating: 5

No comments