Home Top Ad

Kenapa kita perlahankan radio bila mencari sesuatu?


Tengah dok syok dengar lagu kuat-kuat dalam kereta, tiba-tiba bila kita hampir sampai ke destinasi yang kita tak pernah sampai, sambil mencari kedai makan yang dijanjikan bersama rakan dan kemudian mencari tempat parkir - kita akan perlahankan radio.

Kalau difikir secara mudah, apa kaitan bunyi dengan pandangan kita? Adakah mata kita akan jadi setajam pandangan helang apabila lagu diperlahankan? Tidak sama sekali.

Jadi kenapa tanpa sedar kita berbuat demikian?

Bukan tak boleh mencari sambil mendengar lagu, tapi misi pencarian kita itu menjadi kurang efektif kerana fokus kita terbahagi kepada dua.

Apabila lagu diperlahankan sambil kita mencari, kapasiti memproses dalam otak dapat ditumpukan lebih kepada deria visual.

Ada satu eksperimen dijalankan di mana imbasan MRI dibuat terhadap 32 orang peserta didapati apabila manusia sedang fokus terhadap sesuatu visual, tindak balas oleh deria auditori menurun.

Mekanisme sama tetapi berlawanan dengannya berlaku ketika kita bercakap kepada telefon ketika memandu. Ia adalah tentang perhatian yang terbahagi (divided attention).

Mengalihkan perhatian kepada mendengar dengan efektif menyebabkan input terhadap bahagian otak yang memproses visual itu menurun, menurut seorang profesor di Jabatan Psikologikal dan Sains Otak Universiti John Hopkins, Dr. Steven Yantis.

"Bukti yang kita ada sekarang sangat kuat mengatakan bahawa perhatian adalah sangat terhad. Apabila perhatian digerakkan kepada satu modaliti (seperti bercakap dalam telefon), ia akan menarik bahagian perhatian daripada modaliti lain (deria visual, hidu dan sentuh misalnya).

Disebabkan itu kapasiti fokus dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila kita menyingkirkan unsur lain yang mendatangkan gangguan. Kepenatan juga satu daripada elemen yang menjejaskan fokus, sukar untuk memberi perhatian apabila badan dan otak letih. Begitu juga apabila kita dilandan kemurungan.

Semakin menuju tua, kapasiti fokus seseorang itu juga akan menurun dan keperluan pemprosesan juga meningkat. 

Walaupun kapasiti fokus otak kita adalah terhad, sebenarnya kita masih boleh membuat dua tiga perkara dalam satu masa. Kita boleh melatih otak kita supaya kekal efisyen meskipun ketika sedang berbahagi perhatian. 

Pertama, keep it simple. Kalau anda terpaksa multitasking, buat tugasan-tugasan yang ringkas. Tak bolehlah sambil nak menulis novel, waktu itu jugalah nak memahami teori relativiti. Einstein pun tak buat begitu.

Kedua, buat tugasan-tugasan yang sama sekali berlainan. Misalnya sambil berjoging, anda boleh berbual hal ringan dengan keluarga atau rakan. Buat aktiviti yang menggerakkan bahagian berbeza dalam otak kita.

Ketiga, berlatih. Mula-mula memang payah untuk fokus terhadap dua tiga kerja dalam satu masa. Tapi kalau kita bertatih dan susun cara kerja kita, lama-lama boleh jadi biasa.

Tapi tolong jangan berlatih bercakap dalam telefon sambil memandu. Tanpa sedar sebenarnya kedua-dua tugas itu memerlukan kapasiti fokus yang sepenuhnya. RancakTV peduli.


Kenapa kita perlahankan radio bila mencari sesuatu? Kenapa kita perlahankan radio bila mencari sesuatu? Reviewed by Hilal Azmi on July 04, 2020 Rating: 5

No comments