Home Top Ad

Kenapa semakin ramai orang tua di Jepun?


Masyarakat Jepun sangat menghormati orang tua, dan ada satu hari khas yang diraikan pada Isnin minggu ketiga setiap tahun untuk meraikan warga emas di negara itu.

Tradisi meraikan orang tua itu bermula sejak 1947 lagi, hanya pada 1966 Hari Menghormati Orang Tua dijadikan hari cuti umum di Jepun supaya generasi yang lebih muda dapat meluangkan masa bersama mereka.

Sebagai menghargai jasa warga tua kepada negara, kerajaan Jepun menganugerahkan sebuah cawan sake diperbuat daripada perak kepada setiap rakyatnya yang mencapai usia 100 tahun.

Bagaimanapun bermula 2016, mereka yang mencapai usia tiga angka menerima hadiah yang lebih murah. 

Ini kerana semakin populasi tua di Jepun semakin meningkat saban tahun, menyebabkan kos yang ditanggung kerajaan untuk membantu golongan ini juga semakin bertambah.

Ketika kali pertama pengurniaan hadiah tersebut pada 1966, hanya ada 153 orang penerima. Namun berdasarkan rekod tahun 2016, bilangan penerima menghampiri 32,000 orang - peningkatan 4.5% daripada tahun sebelumnya, 2015.

Ikut rekod tahun 2014 sahaja, kos untuk menghasilkan sakazuki komemoratif untuk semua penerima pada tahun itu mencecah 260 juta Yen (RM10.33 juta)

Maka memandangkan hutang negara juga semakin meningkat, ia memaksa Perdana Menteri, Shinzo Abe untuk memotong kos pembuatan sakazuki khas itu dengan menukarkan bahan buatannya daripada perak sterling kepada perak biasa dengan saiz yang lebih kecil.

Jepun memiliki kadar jangka hayat tertinggi di dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Purata hayat lelaki Jepun mencapai 80.5 tahun, manakala wanita puratanya sehingga 86.83 tahun.

Komposisi demografi usia rakyat Jepun dari tahun 1940 hingga 2020, dan jangkaan menjelang tahun 2060. (Foto: Wikipedia)
Peningkatan populasi tua di Jepun adalah disebabkan kombinasi tidak seimbang antara kadar jangka hayat yang panjang dengan kadar kesuburan yang rendah.

Ramai rakyat Jepun berusia panjang kerana gaya hidup yang sihat, ditambah dengan industri penjagaan kesihatan yang baik. 

Bagaimanapun, kadar kelahiran baharu di negara itu yang semakin merendah adalah disebabkan stres berpunca daripada kehidupan-kerja yang tidak seimbang, sebagai antara faktornya.

Trend ini mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan tenaga kerja negara itu, potensi pertumbuhan ekonomi serta solvensi pencen dan industri penjagaan kesihatan.

Maju sangat pun susah, hidup lama sangat pun susah. Makanya hidup ini perlulah serba serbi seimbang dalam segala bidang. RancakTV peduli.

Kenapa semakin ramai orang tua di Jepun? Kenapa semakin ramai orang tua di Jepun? Reviewed by Hilal Azmi on July 08, 2020 Rating: 5

No comments