Home Top Ad

Kenapa tahi lalat wujud?


Tak ada satu manusia pun yang dilahirkan tanpa ada tahi lalat pada mana-mana bahagian tubuhnya. Biarpun namanya begitu, ia bukanlah sejenis hasil nyahtinja seekor serangga perosak yang kotor.

Tahi lalat atau nama sainsnya melanocytic nevus adalah satu bentuk kondisi kulit seperti jeragat dan tanda lahir yang biasa dan tidak membawa risiko barah/kanser. Selalunya ia berwarna hitam atau keperangan, belum ada lagi tahi lalat berwarna turquoise. 

Ia tumbuh secara bersendiri atau berkumpulan. Normal untuk seseorang itu mempunyai 10 hingga 40 tahi lalat pada tubuhnya. Kebanyakan tahi lalat ada seawal kelahiran hingga seseorang itu berusia 30 tahun.

Kemudian sama ada ia akan beransur menghilang, kekal begitu, atau ada juga tahi lalat yang terus menumbuh - ini kita panggil tahi lalat hidup. Kadang-kadang juga, ada rumpunan kecil bulu yang akan berubah menjadi tahi lalat. 

Jadi bagaimana boleh wujudnya tahi lalat? 

Ketika 12 minggu pertama kehamilan, janin (foetus) akan membentuk melanocyte, sel yang memberikan pigmen warna kepada kulit. Ketika pembentukan ini, tidak semua melanocyte disebarkan secara sekata. Macam buat air coklat, kadang-kadang ada serbuknya yang terkumpul jadi ketulan kecil walaupun sudah digodak dalam air panas.

Dalam kebanyakan budaya, tahi lalat diggambarkan sebagai tanda kepada personaliti seseorang. Betul atau tidak, secara sainsnya belum ada pembuktian lagi, tapi ia umum dipercayai dari generasi ke generasi. Tak kurang juga yang tidak mempercayainya.

Membuang tahi lalat tanpa sebab dikatakan tidak elok, ustaz kata, kerana mengubah kejadian Tuhan. Bagaimanapun tak semua tahi lalat rata dan terbentuk dalam epidermis, ada yang timbul dan terus membesar. Maka apabila ia tumbuh di tempat-tempat tertentu seperti pelipat kaki, celah peha dan bahagian yang mendatangkan rasa rengsa dan tidak selesa, maka buanglah.

Ada juga tahi lalat boleh berevolusi menjadi melanoma, namun hanya 1 dalam 100 orang sahaja berdepan risikonya. Selalunya ia berlaku pada tahi lalat hidup yang timbul dan bersaiz lebih daripada diameter sebatang pensel.

Melanoma boleh dicetuskan apabila kulit terlalu terdedah kepada sinar ultra ungu (UVA & UVB). Sinar UV akan menembusi ke dalam kulit dan merosakkan DNAnya, mendorong kepada mutasi sel menjadi kanser. 

Macam mana nak elak risiko melanoma? Elak berjemur di bawah matahari tanpa urusan penting. Kalau ada mana-mana tahi lalat pada tubuh anda yang mula menunjukkan perkembangan yang membimbangkan, segeralah pergi berjumpa doktor.

*Terima kasih Hilal Azmi sudi jadi model. Manis orangnya, mungkin kerana tahi lalat ikoniknya.



Kenapa tahi lalat wujud? Kenapa tahi lalat wujud? Reviewed by Hilal Azmi on July 17, 2020 Rating: 5

No comments