Home Top Ad

Kenapa UK haramkan Huawei?


Kenapa? Tengok tak filem Terminator, di mana mereka cipta robot AI yang kemudian mengawal mereka selain memusnahkan mereka dengan memulakan perang nuklear ke atas manusia.

Semua ini dibuat secara remote ataupun kawalan jauh sahaja, menggunakan cip-cip komputer, perisian dan aplikasi tertentu.

Ini lah yang ditakutkan UK, yang dibangkitkan sekutu Amerika, di mana cip-cip atau peralatan komunikasi 5G Huawei kemungkinan boleh membantu China mengintip dan kemungkinan lebih buruk lagi, perang siber.

Bayangkan jika semua rangkaian komunikasi 5G dan radio dapat dikawal oleh orang jahat yang mengeluarkan peralatan itu, tentu sekali ia mengancam keselamatan negara.

Tapi, Huawei sudah bertapak di United Kingdom (UK) sejak 20 tahun yang lalu, namun kerana sekutu mereka itu ada perang perdagangan dan teknologi yang besar dengan China (asal usul Huawei), kenalah mereka ikut cakap kawan mereka.

Foto huawei.com

Adakah benar cip-cip, aplikasi dari China boleh mengugat keselamatan negara yang menggunakannya?

Pada Selasa, kerajaan UK mengumumkan semua peralatan Huawei 5G perlu dihentikan penggunaannya di negara itu menjelang 2027 dan syarikat telekomunikasi di negara itu dilarang membeli perkakasan (hardware) infrastruktur 5G daripada Huawei selepas Disember tahun ini.

Huawei mereka bentuk dan membuat peralatan yang mengawal bagaimana dan di mana data dihantar - ini bermaksud semua peralatan kita disambungkan dan berkomunikasi dengan cip-cip yang dibina oleh Huawei.

Sekarang tiada bukti ada pintu belakang pada cip atau perkakasan Huawei yang membolehkan hasad jahat dilakukan tapi menurut pakar, apa-apa sahaja peralatan telekomunikasi yang ada hanya perlukan satu dikemas kini firmware atau perisian tegar, untuk mengubah segala kemampuan pada alat itu.

Ini bukan hanya pada barang Huawei, malah mana-mana jenama lain pun boleh melakukan benda yang sama, satu kemas kini yang boleh mengugat keselamatan. Dalam kes ini, mereka takut China yang melakukannya.

Takut diintip, dikawal atau dimonopoli? Mungkin ya dan tak juga.

Huawei diasaskan oleh Ren Zhengfei pada 1987 oleh seorang bekas jurutera tentera China. Mana tak AS dan UK bimbang kerana Zhengfei dan pegawai tertinggi di Huawei dikatakan ada kaitan dan hubungan yang rapat dengan pihak tentera dan Parti Komunis di negara itu.

Namun ada yang mengatakan bahawa menjadi tentera adalah satu perkara biasa untuk seseorang warga China kerana ia boleh membantu mereka keluar dari kemiskinan.

Ren Zhengfei, foto dari huawei.com

Zhengfei pula tidak memegang jawatan yang penting dalam tentera China dan tempoh perkhidmatannya juga singkat.

Reformasi ekonomi di negara China itu juga membolehkan syarikat swasta di negara itu beroperasi secara bebas berbanding syarikat yang dikawal dan dimiliki kerajaan China. 

Bagaimanapun, undang-undang perisikan China, ada menyatakan bahawa kerajaan China dapat mengarahkan mana-mana warganegara itu untuk mematuhi permintaan kerajaan.

Jadi, jika Huawei menerima arahan dari kerajaan mereka untuk melakukan sesuatu pada waktu krisis antarabangsa, kemungkinan besar ia terpaksa melakukannya dan ini lah kebimbangan yang disuarakan Australia.

Betul atau tidak, kita tak pasti.

Sehingga kini tiada bukti kukuh bahawa China dapat mengintip atau menggunakan Huawei untuk tujuan jahat seperti pengintipan atau perang siber.

Namun syarikat itu pernah didapati melakukan pengintipan korporat di Amerika Syarikat, apabila cuba untuk mencuri harta intelek robot ujian telefon T-Mobile (laporan Sky News berdasarkan dokumen mahkamah).

Semua tuduhan pengintipan dan ancaman kepada keselamatan sudah dinafikan Huawei sejak dulu lagi, malah Huawei berharap dapat mencari penyelesaian untuk membantu membangunkan sistem telekomunikasi di negara itu.

Foto huawei.com

Negara mana yang dah haramkan pengunaan Huawei?

Selain Amerika Syarikat, UK dan Australia, New Zealand antara negara yang sudah mengharamkan mana-mana syarikat telekomunikasi di negara itu menggunakan perkakasan Huawei.

India dan Jerman juga menyatakan kebimbangan mereka untuk menggunakan Huawei di negara itu dalam usaha menaik taraf infrastruktur 5G mereka.

Apa impaknya kepada UK?

Internet akan jadi perlahan, pembangunan rangkaian 5G mereka akan terganggu dan mungkin menyebabkan mereka ketinggalan dua tahun di belakang negara-negara lain.

Bukan itu sahaja, ramai juga warga UK akan kehilangan pekerjaan. 

Ini kerana terdapat 1,600 warga UK bekerja dengan Huawei, 400 daripadanya bertempat di Edinburgh, Bristol, Cambridge dan Ipswich.

Huawei juga ada pangkalan penyelidikan di UK dan menaja beberapa universiti di negara itu termasuk Imperial College London, Southampton dan Surrey.

Tak pakai Huawei, UK nak pakai apa?

Kembali guna Ericsson lah, dan EE mobile sudah berjanji untuk menukar semua perkakasan Huawei yang sedang digunakan kepada Ericsson menjelang penghujung 2023.

Bukan sahaja rangkaian telefon/internet, malah peralatan Huawei juga ada pada sambungan jalur lebar di UK.

Apa penyelesainnya?

Buat hardware 5G sendiri, bina lapisan rangkaian maya selamat di seluruh infrastruktur 5G yang dapat menjamin keselamatan dari hujung ke hujung, dikendalikan oleh syarikat rangkaian 5G negara masing-masing.

Mungkin wujud pintu belakang untuk penjahat masuk tapi kita dapat tutup pintu belakang itu apabila ia digunakan dengan secara tidak sah… ini semua andaian yang mungkin sahaja. 


Kenapa UK haramkan Huawei? Kenapa UK haramkan Huawei? Reviewed by Hilal Azmi on July 15, 2020 Rating: 5

No comments