Home Top Ad

Lanun paling berkuasa dalam sejarah adalah seorang wanita


Tak semua lanun lelaki, sebenarnya ada lanun wanita. Malah, lanun yang paling berjaya dan berkuasa dalam sejarah bukanlah Blackbeard yang cukup terkenal dan digeruni itu, tetapi seorang wanita China bernama Ching Shih.

Ching Shih (1775-1844) merupakan 'Ratu Lanun' yang menguasai Laut China Selatan semasa tempoh pemerintahan Maharaja Jiaqing pada zaman Dinasti Qing sekitar awal kurun ke-19.

Lahir dengan nama Shih Yang di wilayah Guangdong (Kanton) di selatan China, asalnya dia merupakan seorang pelacur dan ibu ayam dengan nama Shih Xianggu yang bekerja di dalam rumah pelacuran atas kapal di Guangzhou.

Kepintaran dan kelicikan Ching Shih dalam menggoda para pelanggannya dari golongan para hartawan dan ahli politik untuk keuntungannya sampai ke pengetahuan seorang lanun bernama Zheng Yi. Mereka berkahwin pada 1801 ketika Ching Shih berusia 26 tahun, kerana itu dia juga dikenali dengan nama Zheng Yi Sao (isteri Zheng Yi).

Ada mengatakan ia atas dasar cinta, ada juga kata ia bermotifkan bisnes memandangkan Zheng Yi datang dari keluarga lanun berpengaruh sejak kurun ke-17. Apapun, perkahwinan itu disertakan satu perjanjian di mana sebagai pulangan daripada khidmat kemahiran pujuk rayunya, Ching Shih memperoleh 50% kawalan kuasa dan perkongsian hasil.

Penyatuan dua jiwa gila itu akhirnya membentuk pakatan yang amat digeruni, dengan lebih 1,500 kapal dan hampir 80,000 anak kapal yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak. Menjelang 1804, pakatan mereka menjadi armada terkuat di seluruh China malah angkatan laut terbesar di dunia, dikenali sebagai Armada Bendera Merah (Red Flag Fleet).

Untuk dibandingkan dengan lanun tersohor Edward Teach atau Blackbeard, ia jauh terlalu besar. Blackbeard yang mengemudi kapal Queen Anne's Revenge hanya mempunyai kira-kira 300 orang kru di atas empat buah kapal dalam armadanya.

Ini dia Ching Shih, ibu ayam yang kemudian menjadi Ratu Lanun yang mengepalai armada terbesar yang pernah wujud dalam sejarah dunia.
Zheng Yi mati di Vietnam pada November 1807, bermakna Chih Shih naik ke ke tampuk kuasa untuk memimpin Armada Bendera Merah menguasai Laut China Selatan. Untuk mengukuhkan lagi penguasaannya, dia menjalinkan hubungan dengan anak angkat Zhing Yi, Cheung Po Tsai yang merupakan individu paling berpengaruh dalam armada tersebut.

Selepas mengambil alih kepimpinan, Ching Shih memperkenalkan kod undang-undang untuk diikuti oleh seluruh ahli armada. Ia merupakan peraturan yang sangat tegas dan hukumannya juga keras.

Malah, kod tersebut mempunyai undang-undang khas untuk golongan wanita. Selalunya, tawanan yang cantik akan dijadikan gundik atau isteri mereka. Jika seseorang lanun itu mengambil salah seorang sebagai isteri, mereka harus berlaku setia kepadanya. Tawanan yang dirasakan tidak cantik pula akan dilepaskan dan selebihnya dijadikan tebusan. 

Lanun yang merogol tawanan akan dibunuh. Namun sekiranya berlaku hubungan intim yang dipersetujui antara kru dengan tawanan, kru tersebut akan dipancung kepala sementara tawanan wanita itu akan diikat peluru besi meriam pada kakinya dan dicampak ke laut.

Ching Shih semasa di puncak kekuasaannya. Comel.
Selama bertahun, Armada Bendera Merah tidak mampu ditandingi sesiapa pun, baik kerajaan Dinasti Qing mahupun bounty hunter Portugis dan British. Sehinggalah pada September-November 1809, mereka kalah teruk dalam beberapa siri serangan oleh Tentera Laut Portugis dalam Battle of Tiger's Mouth di perairan Macau.

Akhirnya Ching Shih dan Cheung Po Tsai menyerah kalah selepas Pertarungan Chek Lap Kok pada Januari tahun berikutnya. Mereka menerima pengampunan daripada Empayar Qing dan menamatkan karier sebagai lanun dengan syarat, mereka boleh menyimpan hasil rompakan yang berbaki.

Cheung Po Tsai diberi jawatan dalam kerajaan Qing, dan Ching Shih berunding supaya kira-kira 120 kapal dapat dikekalkan untuk membantu dalam perdagangan garam. Ching Shih juga memohon kepada kerajaan supaya mengiktirafnya sebagai isteri Cheung Po Tsai.
Walaupun undang-undang menegah janda untuk berkahwin lagi, permohonannya itu diluluskan.

Selepas Cheung Po mati ketika berlayar pada 1822, Ching Shih berhijrah bersama anak-anaknya (hasil bersama Zhang Yi dan Cheung Po) ke Macau dan membuka pusat pelacuran serta perjudian. Pada masa sama, dia turut terlibat dalam perdagangan garam di sana.

Dia juga kemudian berkhidmat sebagai penasihat Gabenor Besar Lin Zexu ketika memerangi British dalam Perang Opium pertama yang tercetus pada 1839.

Pada 1844, Ching Shih menghembuskan nafas terakhirnya di atas katil di sisi keluarga pada usia 64 tahun.

Kisahnya banyak diadaptasi kepada bermacam cerita, dalam komik, buku fiksyen, permainan video dan filem. Wataknya ada membuat kemunculan dalam filem pecah panggung Disney, Pirates of the Caribbean: At World's End. Dilakonkan oleh Takayo Fischer, Mistress Ching digambarkan sebagai salah seorang daripada sembilan ketua lanun dalam Brethren Court.

Kuasa wanita. Dahsyat.

Lanun paling berkuasa dalam sejarah adalah seorang wanita Lanun paling berkuasa dalam sejarah adalah seorang wanita Reviewed by Hilal Azmi on July 14, 2020 Rating: 5

No comments