Home Top Ad

RancakX - Autograf paling mahal di dunia

Ramai sanggup bergolok gadai untuk mendapatkan tandatangan sebriti dan tokoh yang mereka sanjungi. Beratur panjang, tunggu berjam-jam, bergasak dalam keramaian hanya untuk bertemu pujaan hati dan mendapatkan autograf mereka.

Dunia hari ini sudah berbeza. Ramai lebih memilih untuk bergambar atau 'selfie', sebagai bukti yang lebih kukuh bahawa mereka pernah berjumpa dengan seseorang bintang dan tokoh tersebut. Namun masih ada golongan yang tetap memburu tandatangan orang ternama.

Sebabnya - sebagai koleksi berharga dan juga aset bernilai untuk dijual pada masa akan datang. Sesebuah item itu mungkin biasa, sekeping album atau sehelai baju misalnya, tetapi boleh menjadi mahal sehingga ratusan, ribuan malah jutaan Ringgit apabila ditandatangani oleh orang ternama, ditambah pula bersamanya ada peristiwa penting yang berlaku ketika autograf itu diturunkan.

RancakX kembali, dan kali ini kami menyenaraikan 10 tandatangan paling mahal di dunia - setakat ini.

#10 - Surat Khabar John F. Kennedy ($39,000)



Tarikh 22 November 1963 menjadi detik gelap dalam sejarah Amerika Syarikat apabila Presiden ke-35, John F. Kennedy ditembak mati oleh Lee Harvey Oswald. Tandatangan yang diturunkan pada akhbar The Dallas Morning News ini adalah yang terakhir daripadanya sebelum peristiwa berdarah itu.

Akhbar bertandatangan Kennedy ini dibeli oleh pelakon, Joseph Maddalena dengan harga $39,000. Dia mengakui sanggup membayar dengan harga yang lebih tinggi untuk mendapatkannya. Malah, dia turut melindungi khazanah itu dengan insuran bernilai setengah juta Dolar.


#9 - Gambar Jesse James ($52,000)


Jesse James adalah seorang penyamun yang paling dikehendaki, hidup atau mati, di AS sekitar 1866 ke 1876. Dia juga digelar Robin Hood kerana mencuri hanya daripada orang kaya dan berkongsi hasilnya dengan orang miskin. Sebagai penjenayah, James jarang menurunkan tandatangannya secara sembarangan. 

Gambar James bersama autografnya ini disahkan tulen, yang dimiliki oleh cucunya, Ethel Rose James. Ketika dilelong, harganya pantas naik dari asalnya $20,000 kepada akhirnya dijual pada $52,000.


#8 - Gitar Jimmy Page ($73,000)


Tandatangan 'rockstar' memang sampai bila-bila pun laku, apatah lagi ianya milik Jimmy Page, gitaris kumpulan rock legenda Led Zeppelin. Dan tandatangan itu diturunkan pada gitar ikonik, Gibson EDS-1275 berwarna merah dengan leher kembar. Gitar ini yang digunakan Page setiap kali mempersembahkan lagu 'berhantu', 'Stairway to Heaven'.


#7 - Gambar Albert Einstein ($73,000)


Orang genius selalunya 'gila'. Pada hari jadinya yang ke-75 di Universiti Princeton, Albert Einstein menjelirkan lidahnya kepada media dan pantas dirakam oleh jurugambar Arthur Sasse. Einstein dapatkan beberapa keping, tetapi cuma sekeping dua sahaja yang ditandatangan.

Ramai yang mencetak semula dan cuba meniru tandatangan tersebut untuk mengaut keuntungan daripadanya. Bagaimanapun, ada satu sahaja gambar yang disahkan tulen oleh keluarga Einstein sendiri dan dilelong pada 2009.


#6 - Bola besbol Joe DiMaggio & Marilyn Monroe ($191,200)


Bintang Hollywood, Marilyn Monroe pernah berkahwin dengan bintang besbol New York Yankees, Joe DiMaggio. Mereka dianggap sebagai salah satu daripada pasangan selebriti termasyhur dalam sejarah AS. 

Bola yang ditandatangani mereka ketika satu sesi latihan Yankees di Florida pada 1961 ini dijual kepada seorang pengumpul tidak bernama pada 2006.


#5 - Kontrak Jimi Hendrix ($200,000)


Lambang kebebasan hidup hedonistik 'flower power' era 60-an. Pemuzik yang dipersetujui sebagai antara pemain gitar terhebat yang pernah lahir ini bergelumang dengan alkohol dan dadah yang akhirnya meragut nyawanya ketika masih berusia 27 tahun pada 1970.

Bagaimanapun sebelum kematiannya, Jimi Hendrix ada menandatangani satu kontrak dengan PPX di mana dia bersetuju menjual hakciptanya untuk royalti sebanyak 1%. Kertas kontrak ini terjual pada 2009.


#4 - Bola besbol Babe Ruth ($388,375)


Babe Ruth merupakan legenda besbol yang digelar 'Sultan of Swat' ketika era kegemilangannya sekitar 1914 hingga 1935. Banyak bola telah ditandatangani Ruth, dan satu daripadanya terjual pada 2014 pada harga $250,000.

Namun antara semua, bola jenis baharu yang ditandatangani Ruth ini adalah yang paling berharga dan terjual pada tahun 2012.


#3 - Rekod LP 'Double Fantasy' John Lennon ($525,000)


8 Disember 1980, Mark David Chapman berjaya mendapatkan tandatangan bintang pujaannya, John Lennon pada album piring hitam 'Double Fantasy' yang baru diterbitkan. Beberapa jam kemudian, Chapman kembali menemui Lennon namun kali ini melepaskan lima das tembakan yang membunuh pemuzik itu serta merta.

Chapman tidak lari, malah dengan tenang duduk sambil menyelak halaman buku 'The Catcher in the Rye' karangan JD Salinger sementara menunggu ketibaan polis. Album itu terjual pada 2003, dan mungkin harganya semakin tinggi hari ini.


#2 - Proklamasi Pembebasan Abraham Lincoln ($3.7 juta)


Pada 1864, setahun sebelum kematiannya, Abraham Lincoln menandatangani 48 salinan Proklamasi Pembebasan yang menamatkan perhambaan di AS. 26 salinan selamat sehingga hari ini dan dipamerkan di universiti dan muzium, juga beberapa dalam simpanan persendirian.

Pada 1991, satu salinan Proklamasi ini terjual pada $750,000. Pada 2012, satu salinan lagi dibeli oleh bilionair David Rubenstein dengan harga $2 juta. Tetapi salinan yang paling mahal terjual adalah pada 2010 kepada seorang pengumpul tidak bernama pada harga $3.7 juta.


#1 - Akta Kongres George Washington ($9.8 juta)


Salinan peribadi Presiden pertama AS, George Washington yang mengandungi 'Constitution', 'Bill of Rights' dan 'First Congress' ini adalah yang termahal dalam senarai ini. Washington menandatangani muka surat pertama buku Akta Kongres ini yang dijual dalam lelongan di Sotheby pada 2012.

Ia dibeli oleh Ann Bookout, ahli lembaga Persatuan Wanita Vernon yang menguruskan Estet Virginia Washington. Selepas dibeli, salinan ini diletakkan ada tempat sepatutnya, di Perpustakaan Presiden Washington di White House.

Kalau anda kaya raya duit berkoyan-koyan, mana satu nak dibeli?






RancakX - Autograf paling mahal di dunia RancakX - Autograf paling mahal di dunia Reviewed by Hilal Azmi on July 02, 2020 Rating: 5

No comments