Home Top Ad

Taman Negara, hutan hujan tertua di dunia

Pada usia sekitar 130 juta tahun, Taman Negara dianggap sebagai hutan hujan tropika yang tertua di dunia.

Ia lebih tua daripada hutan Amazon di Amerika Selatan, yang hanya berusia 55 juta tahun tetapi kalah dengan saiznya yang lebih besar seluas 3.41 juta km persegi.

Bebas daripada ancaman bencana alam serta perubahan iklim sepertimana yang melanda hutan-hutan di Barat, hutan ini telah hidup sepanjang sejarah kewujudan manusia di muka Bumi ini.

Dipercayai juga, dinosaur pernah menghuni hutan hujan tropika ini berdasarkan penemuan batuan dan galian yang wujud sejak zaman Jurassic-Cretaceous. Namun, masih belum ada penemuan tulang makhluk itu untuk membuktikan kesahihannya.

Asalnya ia diasaskan pada 1938/39 sebagai King George V National Park (sempena nama Raja British ketika itu) oleh Theodore Hubback selepas memohon perkenan Sultan Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk mewujudkan kawasan pemeliharaan hutan antara tiga negeri tersebut.

Berkeluasan 4,343 km persegi, Taman Negara menempatkan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Tahan (2,187m).

Walaupun sebenarnya hutan hujan Daintree di Australia dikatakan lebih tua (100-180 juta tahun), ia tidak dapat menandingi keluasan dan kekayaan serta kepelbagaian flora dan fauna yang ada di Taman Negara.

Dicatatkan ada lebih daripada 3,000 spesis tumbuhan membentuk hutan hujan tropika ini, yang didiami oleh sekitar 1,000 spesis fauna merangkumi 150 spesis mamalia, 479 spesis burung dan 53 spesis ikan.

Dengan ekosistem yang kaya dan pelbagai, flora dan fauna di Taman Negara disifatkan endemik, unik, jarang ditemui dan juga sensitif dan mudah terjejas akibat ancaman. 

Sebahagian daripada taman ini dibuka kepada khalayak sebagai destinasi eko-pelancongan, dengan syarat setiap pengunjung terlebih dahulu wajib mendapatkan permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Taman Negara berada dalam senarai subjek untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

*Sumber gambar: blog.tourism.gov.my
Taman Negara, hutan hujan tertua di dunia Taman Negara, hutan hujan tertua di dunia Reviewed by Hilal Azmi on July 01, 2020 Rating: 5

No comments