Home Top Ad

1 Muharam bukan tarikh penghijrahan Muhammad SAW


Boleh kata setiap umat Islam tahu kenapa 1 Muharam disambut. Sepertimana lagu popular yang dimainkan setiap kali tiba tarikh tersebut, ia merupakan detik permulaan perkiraan tahun Islam Hijrah. 


Tapi, tak dinafikan juga, ramai yang keliru dan menganggap 1 Muharam itu adalah tarikh perpindahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah. Atas keyakinan dan iman yang teguh, kaum Muhajirin dan Ansar bersatu.


Maaf, ternyanyi pula. Pokok pangkalnya, perkiraan tahun Hijrah secara rasminya diperkenalkan Saidina Umar al-Khattab ketika era pemerintahannya pada tahun 638 Masihi, 17 tahun selepas peristiwa hijrah Muhammad dan pengikutnya.


Pada tahun tersebut, salah seorang pegawai bernama Abu Musa Ashaari mengadu kepada Saidina Umar bahawa ketiadaan sistem perkiraan tahun menyukarkan urusan pentadbiran kerajaan. Ia sekaligus meyakinkan Umar bahawa perlu diperkenalkan sebuah era untuk umat Islam.


Selepas berbincang, mereka setuju memilih tahun ketibaan Muhammad SAW ke Yathrib, dan Saidina Uthman bin Affan mencadangkan supaya ia dimulakan dengan bulan Muharam, seperti tradisi bangsa Arab pra-Islam.


Sebelum pengenalan kalendar Hijrah, bangsa Arab memang sudah lama menggunakan perkiraan bulan dengan nama-nama yang diberikan oleh Kilab bin Murrah, pemimpin kaum Quraisy yang juga merupakan moyang Muhammad SAW. Tahun pula tidak dikira dengan angka, tetapi diberi nama berdasarkan peristiwa besar yang berlaku sepanjang satu kitaran penuh 12 bulan itu.


Contohnya, pada tahun Abrahah cuba menyerang kota Mekah, ia dinamakan Tahun Gajah kerana ketika itu kota Mekah menyaksikan perarakan ratusan tentera bergajah hadir untuk meruntuhkan Kaabah.


Berdasarkan kalendar Gregorian, yang dipakai oleh umat Kristian dan menjadi rujukan perkiraan tarikh utama sehingga hari ini, kalendar Hijrah bermula pada tahun 622 Masihi.


Keluar dari penindasan


Episod pertama penghijrahan umat Islam bermula pada 613 Masihi, ada yang kata 615 Masihi. Menurut riwayat Ibn Ishaq, kumpulan umat Islam pertama berdepan penganiayaan daripada kafir Quraisy di Mekah. 


Maka, Muhammad SAW mengarahkan mereka berpindah dan berlindung di Habsyah yang dikuasai kerajaan Kristian Aksum (Ethiopia hari ini) pimpinan Raja Armah. Sabda Nabi, ia sebuah kerajaan yang mesra dan rajanya adil. Lalu berhijrahlah 11 orang lelaki dan tujuh wanita ke sana, sebelum disusuli 83 orang lelaki dan 18 wanita lagi kemudiannya.


Mendapat tahu perpindahan orang Mekah yang memeluk Islam ke Habsyah, pemimpin kafir Quraisy menghantar wakil untuk membawa mereka pulang. Namun apabila mendengar kisah penindasan yang diceritakan pemimpin kumpulan pelarian Islam Mekah, Ja'far bin Abi Talib, Raja Armah enggan melepaskan kumpulan pelarian Mekah ke tangan delegasi Quraisy itu. 


Maka kekallah mereka di bawah perlindungan kerajaan Aksum itu sehingga hampir sedekad kemudian, ramai pelarian di Habsyah kembali ke Mekah pada tahun 622 apabila mendapat perkhabaran bahawa Muhammad SAW merancang untuk berhijrah ke Yathrib. 



Selepas perjanjian Aqabah pertama dan kedua yang menyaksikan rombongan dari Yathrib menyatakan kesetiaan dan ketaatan mereka kepada Muhammad SAW dan ajarannya, Baginda mengarahkan semua pengikutnya supaya berhijrah ke sana. Dalam tempoh dua bulan, mereka berjaya meninggalkan Mekah secara persendirian dan berkumpulan, tanpa disedari oleh orang kafir Quraisy.


Apabila akhirnya mengetahui tentang perkembangan ini, para pemimpin kafir Quraisy mengadakan pertemuan dan mengatur perancangan untuk membunuh Muhammad SAW pada 26 Safar tahun tersebut. Pada malam yang sama, Baginda mendapat wahyu supaya meninggalkan Mekah untuk bersama pengikutnya ke Yathrib lalu disusun langkahnya dan dimaklumkan kepada sahabatnya paling setia, Abu Bakar as-Siddiq. 


Orang Quraisy terlebih dahulu sudah mengepung kediaman Muhammad SAW dan hanya menunggu Baginda keluar untuk ditamatkan riwayatnya. Namun dengan kehendak Allah SWT, Muhammad membacakan ayat kesembilan surah Yassin lalu dicampakkan segenggam pasir ke arah mereka yang menunggunya di luar rumah, maka terlenalah semuanya. Muhammad SAW menyertai Abu Bakar yang sudah menunggu, mereka meninggalkan Mekah dan bersembunyi di sebuah gua di Bukit Thur di pinggir kota Mekah.


Keesokan paginya barulah para kafir Quraisy tersedar, dan mendapati Saidina Ali bin Abi Talib yang berada di katil Muhammad SAW. Berang diperdaya, mereka mengisytiharkan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang dapat menangkap Muhammad SAW, hidup atau mati. Bertebaranlah mereka mencari Baginda, namun sampai ke sudah tidak ditemukan.


Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam sebuah gua di Bukit Thur di pinggir kota Mekah. Di sinilah di mana labah-labah membuat sarang di mulut gua untuk memperdaya sesiapa yang cuba mencari Baginda. Selepas tiga hari, Muhammad SAW dan Abu Bakar keluar dan meneruskan perjalanan menuju Yathrib pada 1 Rabiulawal.


Kurang lebih lapan hari kemudian, akhirnya Muhammad SAW dan Abu Bakar tiba di Quba', sebuah pekan di pinggir bandar Yathrib pada 8 Rabiulawal. Mereka berdua berhenti di situ lalu mendirikan sebuah tempat solat bersama yang menjadi masjid pertama dalam sejarah.


Empat hari di Quba', Muhammad SAW dan Abu Bakar kembali meneruskan perjalanan sehingga akhirnya tiba di pusat bandar Yathrib pada 12 Rabiulawal, pada hari ulang tahun kelahiran Baginda. Ketibaan Muhammad SAW disambut penuh meriah, menandakan permulaan era baharu sebuah kehidupan bersama di bawah kepimpinan berlandaskan agama yang satu bernama Islam.


Jadi 1 Muharam bukanlah tarikh penghijrahan Muhammad SAW. Baginda meninggalkan kota Mekah pada hari Khamis 26 Safar Rabiulawal tahun 622 Masihi, sepertimana yang dibincangkan para ilmuan Islam iaitu Al-Biruni, Ibn Saad, Abu Ja'far dan Ibn Hisham.


Falsafah hijrah


Umat Islam berhijrah ke Yathrib meninggalkan segala harta benda mereka di kota Mekah, yang kemudian dirampas semuanya oleh kafir Quraisy. Muhammad SAW mengarahkan mereka supaya hanya membawa apa yang perlu sahaja bagi memudahkan perjalanan yang jauh merentas padang pasir ke Yathrib. 


Sebelum peristiwa hijrah, Yathrib berada dalam keadaan yang tidak tentu arah susulan Perang Buath antara puak Yahudi dan Arab penyembah berhala. Undang-undang tradisi sudah tidak berfungsi, tiada kepimpinan tunjang menyebabkan kota berusia lebih 1,500 tahun itu kacau bilau.



Ketibaan ajaran Muhammad SAW membawa sinar baharu kepada Yathrib, dan ketibaan para Muhajirin (mereka yang berhijrah) disambut dengan tangan dan hati terbuka oleh orang Ansar (penduduk asal Yathrib). Mereka bersama membina semula peradaban di bawah kepimpinan Rasulullah SAW, lantas memberi nama baharu kepada Yathrib iaitu Madinah al-Munawwarah, bererti 'Kota yang Dicerahkan' (Enlightened City).


Tiada yang mudah dalam menempuh sebuah perubahan. Begitulah hukum alam, angin berubah akan mengundang hujan, perubahan gaya makan atau diet akan membuatkan tubuh seseorang itu ada rasa sedikit tidak selesa. Sebuah perubahan menuntut pengorbanan, meninggalkan sesuatu yang lama untuk meraih sesuatu yang baharu.


Semoga roh peristiwa hijrah dapat dihayati oleh kita semua, dalam matlamat kehidupan ini untuk menjadikan dunia sebuah tempat yang bahagia dan harmoni untuk didiami setiap makhluk ciptaanNya. Salam Maal Hijrah, wahai jiwa-jiwa Rancak.


1 Muharam bukan tarikh penghijrahan Muhammad SAW 1 Muharam bukan tarikh penghijrahan Muhammad SAW Reviewed by Hilal Azmi on August 20, 2020 Rating: 5

No comments