Home Top Ad

10 kesilapan lazim ketika membeli barangan dapur



Beli barang dapur bukanlah sesuatu yang susah sangat, baik bagi wanita mahupun lelaki (terima kasih PKP). Tapi kalau tak kena cara, boleh jadi leceh, memenatkan, buang masa dan terlebih belanja.

Selalu kita tak sedar tabiat berbelanja kita ada kalanya boleh memudaratkan diri, dan payah kalau sudah terbiasa dan tidak tahu yang cara kita tidak baik. Jadi ini beberapa kesilapan yang sering kita lakukan, sama ada sedar atau tidak, ketika membeli barangan keperluan dapur.

1) Tidak buat senarai
Kadang-kadang kita malas, lebih-lebih lagi kalau barang yang nak dibeli tak banyak. Tapi ketahuilah bahawa pasaraya menyusun barangannya supaya mendorong pengunjung tertarik dan membeli di luar keperluan. Jadi eloklah buat senarai dan beli apa yang perlu sahaja. Satu dua barang luar senarai boleh lah...jangan, nanti melarat.

2) Membeli dalam keadaan lapar
Ini juga perkara yang mengundang perbelanjaan di luar keperluan. Bila lapar, semua benda nampak sedap lalu mendorong nafsu untuk beli semua kalau boleh. Tak ramai orang yang ada disiplin dan iman tinggi untuk menahan godaan ketika di depannya terhidang pelbagai nikmat dunia yang mampu memuaskan tekak, tembolok dan perut. Makan dahuliu siap-siap.


3) Senarai yang ditulis bersepah
Kalau tulisan bersepah tak boleh nak tolong lah, tapi boleh diperbaiki kalau susunan barangan dalam senarai itu tak cantik - ertinya mengikut kategori barangan. Barangan di pasaraya disusun ikut jenisnya, biskut, minuman, makanan tin, produk tenusu dan sebagainya. Jadi kalau membeli berdasarkan senarai yang tak disusun elok, sudahnya akan membuang banyak masa berjalan dari hujung ke hujung kedai ulang-alik. Kalau susun elok senarai, sekali jalan dah selesai.

4) Terlepas pandang ruangan promosi
Selalunya pasaraya memang ada bahagian yang diletakkan semua barangan-barangan promosi, dan selalunya bahagian ini agak tersembunyi. Pergi dulu ke bahagian ini, tengok kalau ada barang yang termasuk dalam senarai anda. Kadang-kadang ada juga barang yang berbaloi dibeli walaupun tiada dalam senarai keperluan anda, contohnya daging burger wagyu yang ada potongan harga sehingga 50%. Rugi tak beli.


5) Borong semua barang promosi
Kalau satu dua barang tak apa, ini pantang nampak barang promosi, semua nak dibelinya. Awas ya, kerana selalunya barangan promosi ini sama ada sudah semakin hampir dengan tarikh luputnya atau terlalu lama tidak terjual. Tahu sahajalah barangan yang dah berusia ini bagaimana keadaannya. Lagi-lagi barang makanan, kalau dah beli banyak-banyak, sempat ke nak habiskan sebelum tarikh luput?

6) Ambil barang paling hadapan
Jangan peduli bila ada orang kata 'kau ni memilih lah!' Memanglah, kita mahukan yang terbaik, mesti memilih. Dinasihatkan supaya ambil barangan yang disusun di belakang, dalam atau bawah. Ini kerana barangan yang diletakkan paling hadapan di atas rak selalunya yang semakin menghampiri tarikh luput.


7) Membuat pembelian sekali-sekala
Ada orang sejenis malas untuk kerap membeli barangan dapur, jadi mereka beli sekali harung banyak untuk stok selama dua minggu misalnya. Sebenarnya kalau boleh, beli stok untuk dua-tiga hari sahaja supaya anda kerap ke pasaraya bagi mengelakkan pembaziran dan memastikan barangan yang digunakan itu segar, terutamanya stok makanan basah.

8) Terlalu mementingkan jenama
Barangan berjenama selalu harganya lebih tinggi, malah ada yang tak seiring kualitinya. Jadi jangan takut untuk mencuba barangan dengan jenama biasa-biasa, seperti roti cap Tisko atau mentega kacang cap Jayen. Kadang-kadang jenama biasa-biasa ini kualitinya lebih baik daripada jenama buatan Amerika. Tak semua benda yang orang putih buat bagus sangat.


9) Memborong tanpa membuat kira-kira
Memanglah beli dalam kuantiti banyak nampak jimat, tapi kalau banyak-banyak pun tak digunakan sebelum tarikh luput itu dipanggil membazir. Membazir itu kan amalan syaitan, maka elakkannya. Buat kira-kira sebaiknya dengan membandingkan kadar penggunaan dengan kuantiti barang yang mahu dibeli.

10) Tidak menyusun barangan dengan baik di kaunter bayaran
Ada pelanggan yang main letak sahaja barang di atas kaunter, yang sebenarnya akan menyusahkan juruwang. Dialah yang nak scan barang, dia juga yang susun barang dalam beg/plastik. Mudahkan kerja mereka dengan susun ikut kategori, barang kering dengan barang kering, barang basah dengan barang basah. Kalau dia letak ikan sekali dengan biskut nanti, marah pula. 


Begitulah antara panduan beli belah barangan dapur yang sering diamalkan dan diajarkan ibu saya. Bukan untuk perempuan sahaja, lelaki pun perlu ambil tahu. Barulah senang hidup di dunia ini bila kita saling tahu dan membantu. Semoga bermanfaat!


10 kesilapan lazim ketika membeli barangan dapur 10 kesilapan lazim ketika membeli barangan dapur Reviewed by Hilal Azmi on August 14, 2020 Rating: 5

No comments