Home Top Ad

Apa akan terjadi kepada Mauritius?


Negara pulau Mauritius yang popular dengan air jernih dan terumbu karang, kini diisytihar sebagai darurat alam sekitar.

Perdana Menteri, Pravind Jugnauth mengumumkan perkara itu susulan tumpahan lebih 1,000 tan minyak dari kapal kargo ke dalam perairan laut yang dilindungi republik itu.


Kapal kargo MV Wakashio milik Jepun yang didaftar di Panama dipercayai mengangkut hampir 4,000 tan minyak dalam tangkinya sebelum sebahagian minyak tumpah 
ke dalam laut akibat kebocoran.

Kebocoran itu sudah dilihat meninggalkan kesan besar terhadap alam sekitar dan akan meninggalkan kesan yang lebih besar terhadap hidupan laut dan ekonomi republik itu, yang bergantung kepada eko-pelancongan.


Bagaimana minyak boleh bocor?


Kapal kargo berkenaan telah bertembung dengan terumbu karang di Pointe d'Esny, kawasan yang terkenal dengan spesis hidupan laut unik, lebih dua minggu lalu.


Kemalangan itu menyebabkan kapal bocor di bahagian tangki minyak dan menurut beberapa portal laporan antarabangsa, kemungkinan untuk kapal itu terbelah dua tidak boleh dinafikan.


Jika itu berlaku, dan 4,000 tan minyak tumpah ke dalam air, ia boleh menyebabkan situasi yang sangat malang dan tidak dapat dikawal.





Setakat ini, apa kesan tumpahan minyak?


Walaupun belum separuh jumlah minyak kapal kargo itu tumpah ke dalam laut, kesannya dapat dilihat berkilometer jauh sehingga ke tepi pantai.


Apa yang sebelum ini adalah air biru dan jernih, kini menjadi hitam kerana dicemari minyak dan diesel.


Walaupun kerajaan Mauritius menyarankan penduduk tempatan tidak melakukan apa-apa, namun mereka masih bertungkus-lumus membina penghalang yang dibuat daripada jerami (straw) untuk menghalang minyak daripada terus merebak.


Ada juga yang dilaporkan berusaha membersihkan kawasan tepi pantai yang turut terjejas kerana penuh dengan minyak hitam.


Menurut laporan AFP News, penduduk tempatan mendakwa ia adalah tanggungjawab mereka untuk membantu memulihkan flora dan fauna di lautan Mauritius.





Apa berlaku apabila minyak tumpah ke dalam laut?

Minyak yang sifatnya lebih padat berbanding air akan terkumpul di permukaan laut dan mudah tersebar akibat faktor angin dan arus air.


Greenpeace memberi amaran bahawa beribu-ribu haiwan dan hidupan laut akan terancam oleh kerana pencemaran minyak.


Pencemaran minyak akan mengancam haiwan dan hidupan laut, termasuk burung yang datang ke laut untuk menangkap ikan.


Hidupan laut seperti ikan mungkin dapat mengelak titisan minyak yang masuk ke dalam air, namun yang lebih kecil seperti plankton mungkin tidak dalam mengelaknya.


Perkara itu akan memberi kesan kepada ekosistem laut, sekali gus kesan besar terhadap alam sekitar.


Sumber foto: Instagram @greenpeace


Apa akan terjadi kepada Mauritius? Apa akan terjadi kepada Mauritius? Reviewed by Hilal Azmi on August 10, 2020 Rating: 5

No comments