Home Top Ad

Bagaimana nak tahu keberkesanan rutin penjagaan muka kita?


Kita sanggup berhabis ratusan malah ribuan ringgit untuk jadi cantik, terutamanya untuk produk penjagaan kulit muka kita.

Tapi adalah produk yang kita beli dan gunakan itu, yang selalunya dipengaruhi oleh iklan dan saranan rakan-rakan, benar-benar berkesan?

Menurut pakar kulit, sekurang-kurangnya ia memerlukan kira-kira 3 hingga 4 bulan untuk mengalami keberkesanan produk yang kita beli dan gunakan. Bagaimanapun, boleh diketahui awal sama ada ia sesuai atau tidak dengan kulit kita jika wujud tanda-tanda perubahan ketara.


Kulit anda terhidrat, tetapi tidak berminyak

Hidrasi adalah aspek penting untuk memastikan kulit kekal segar dan terhindar daripada dicemari anasir luar seperti debu, bakteria dan kuman. Kulit yang menghasilkan terlalu banyak minyak (sebum) adalah tidak baik, begitu juga kalau terlalu kering.

Dr Heidi Waldorf, pakar kulit memberitahu Insider yang jika kulit kita dalam keadaan terhidrat, ia lembut apabila disentuh dan memantulkan cahaya dengan baik. Itu bererti produk yang kita gunakan serasi dengan kulit kita.

Kulit berminyak akan menimbulkan ketidak selesaan seperti rimas dan gatal pada wajah. Dari pandangan mata, muka kelihatan berkilat. Ya lah, macam dilumur minyak. Berbeza dengan kulit terhidrat yang nampak sedang elok dan sihat.




Kulit anda tidak gatal atau meradang

Kulit adalah organ terbesar tubuh manusia, jadi ia mencerminkan tindak balas badan kita terhadap alahan, termasuk terhadap produk penjagaan kulit muka.

Jika kulit tidak merasakan kegatalan atau keradangan selepas menggunakan sesuatu produk, bererti anda tidak alah kepadanya. 

Kadang-kadang ada produk yang pada awal penggunaan akan menyebabkan sejenis tindak balas, terutamanya yang mengandungi retinol (baca pada label), kemudian ia beransur hilang apabila kulit sudah menyesuaikan diri dengan produk baharu.

Tapi jika keradangan atau kegatalan itu berlanjutan selepas dua hingga tiga minggu penggunaan, seeloknya berhentilah gunakan produk terbabit dan dapatkan nasihat doktor kulit.




Kulit anda anjal dan tonanya sekata

Cara paling jelas, nyata dan terang untuk mengetahui adakah rutin penjagaan muka kita berkesan adalah kulit muka sudah semakin memulih daripada masalah besar (jerawat, berminyak, kekeringan). 

Secara idealnya, kulit kita sudah seimbang, terhidrat dan terkawal dengan sendirinya. Ia lembut, anjal dan tona warna sekata serata wajah.

Itu bererti produk yang anda gunakan serasi dengan kulit anda dan teruskanlah dengan rutin tersebut. 

Namun produk luaran bukanlah segalanya. Pemakanan juga perlu dijaga kerana itulah faktor terpenting dalam memastikan kesihatan segala organ kita di dalam dan di luar. Rancak TV peduli. 



Bagaimana nak tahu keberkesanan rutin penjagaan muka kita? Bagaimana nak tahu keberkesanan rutin penjagaan muka kita? Reviewed by Hilal Azmi on August 27, 2020 Rating: 5

No comments