Home Top Ad

Bahagian yang selalu dibuang ini sebenarnya boleh dimakan


Banyak bahagian makanan yang kita buang kerana pada bertanggapan ia tidak boleh dimakan. 


Namun ketahuilah bahawa tiada benda yang diciptakan tuhan di dunia ini sia-sia dan tiada gunanya. Ini 10 bahagian buah dan sayur yang selalu kita buang, yang sebenarnya elok dimakan.


1) Kulit mangga


Ketika isi mangga menjadi santapan manis yang lazim, kulit mangga sebenarnya tinggi kandungan vitamin A, vitamin C, serat dan phytonutrien. Satu kajian tabung uji mendapati ekstrak kulit mangga mengandungi antioksidan dan antibarah berbanding ekstrak isi mangga. Bagaimanapun, tak semua orang boleh makan. Selaput racun serangga boleh mendatangkan kesan alahan jika tidak dibasuh betul-betul. 


2) Kulit pisang


Tak pernah dibuat orang makan kulit pisang, beruk pun kupas dan buang. Sebenarnya ia tinggi kandungan potassium, serat, lemak tidak tepu, dan asid amino yang baik untuk tubuh. Ada kajian membuktikan kulit pisang, lebih-lebih lagi yang muda, sangat tinggi antioksidan. Tapi memang ada orang yang mengisar sekali kulit pisang dalam smoothies malah ada yang menggorengnya sebagai pengganti bacon  bagi geng vegetarian.


3) Kulit oren


Selalu kulit oren orang buat jeruk, dan bukan semua orang makan jeruk. Ia boleh dimakan begitu saja kerana mengandungi antioksidan semula jadi, kalsium, rangkaian vitamin B, vitamin A dan vitamin C. Kulit limau juga lebih tinggi serat berbanding isinya, cuma rasanya kelat lah bila dikunyah.


4) Kulit lemon


Seperti kulit oren, kulit limau memiliki kandungan antioksidan, kalsium potassium dan vitamin C. Biasanya ia diperah untuk menambah rasa dalam makanan, tapi sebenarnya ia boleh dimakan. Bagaimanapun, kulit-kulit ini sukar untuk dihadam. 


5) Kulit kiwi


Bukan kulit burung kiwi, tetapi buah kiwi. Ia mengandungi tiga kali lebih tinggi serat berbanding isinya. Malah jika dimakan terus buah kiwi tanpa mengopek kulitnya, ia dapat mengekalkan sebahagian besar kandungan vitamin C buah tersebut.


6) Bahagian putih kulit tembikai


Kebanyakan orang makan tembikai pada bahagian manisnya sahaja, tetapi tak kurang juga yang suka makan sampai habis bahagian putihnya. Bahagian itu sebenarnya tinggi kandungan asid amino citrulline yang sangat baik untuk mencegah pelbagai penyakit seperti nyanyuk dan keletihan, memperbaiki pengaliran darah ke otot dan mengurangkan tekanan darah. Kerana itu ia baik untuk mengubati masalah mati pucuk dan meningkatkan libido.


7) Biji avokado


Bila memakan avokado, biasanya bijinya yang besar dan kulitnya dibuang. Ada kajian yang mendapati tepung yang diperbuat daripada biji avokado dapat mengurangkan kadar kolestrol dan mengandungi unsur antioksidan yang kuat.


8) Daun lobak


Ada orang kata daun lobak beracun dan tak boleh dimakan. Sebenarnya, daunnya dan juga bahagian atas lobak boleh dimakan, mahu atau tidak mahu saja. Rasanya ada sedikit pahit lah.


9) Batang brokoli


Walaupun rupanya memang macam sebatang pohon merimbun, batangnya yang selalu dibuang itu sebenarnya elok dimakan. Rasanya juga lebih manis dan tidak kurang kandungan antioksidan dan serat, jika dihidangkan dengan cara yang betul. Biasanya direbus untuk melembutkannya.


10) Teras nanas


Nanas atau nenas? Menurut Kamus Dewan, ia adalah nanas. Teras nanas memang lebih keras daripada bahagian lain, namun di situlah tertumpunya kandungan vitamin C dalam buah tersebut. Kulitnya memang tak boleh dimakan lah, berduri kan.


Jadi cubalah makan bahagian-bahagian ini daripada dibuang terus ke dalam tong sampah. Manfaatkan sepenuhnya hasil bumi ciptaan tuhan, kurangkan pembaziran. Rancak TV peduli.


Bahagian yang selalu dibuang ini sebenarnya boleh dimakan Bahagian yang selalu dibuang ini sebenarnya boleh dimakan Reviewed by Hilal Azmi on August 19, 2020 Rating: 5

No comments