Home Top Ad

Begini caranya nak jadikan aiskrim kekal 'segar'


Melayan drama siri atau filem di rumah tak lengkap tanpa sebekas aiskrim dalam pelukan. Sambil menonton, sesudu demi sesudu disuap masuk ke mulut sampai tak sedar cedukan sudah sampai ke dasar bekas. Punya sedap.

Sebenarnya ada beberapa cara yang boleh dibuat untuk menjadikan aiskrim kegemaran yang kalian beli di pasaraya itu lebih sedap. Tak adalah rasanya terus jadi lain, cuma menjadikan aiskrim itu kekal pada kualiti tertinggi seperti baru dibuat.

1) Simpan aiskrim jauh dari benda yang berbau
Cara menyimpan aiskrim di dalam peti ais sebenarnya memberi pengaruh besar kepada rasa aiskrim anda. Produk tenusu mudah menyerap bauan, jadi elak daripada meletakkan aiskrim anda bersebelahan ikan, ayam atau seumpamanya. Kalau tak dapat elak, balut aiskrim anda dengan kain atau bungkus dalam plastik sebelum disimpan di dalam peti sejuk.


2) Simpan aiskrim di bahagian belakang dalam peti ais
Perasan kan selalu kalau aiskrim disimpan lama, dia jadi macam berais. Ia disebabkan aiskrim itu tidak dikenakan suhu pembekuan yang sebaiknya, kerana bahagian paling tidak sejuk adalah di hadapan pintu peti. Jadi untuk mengekalkan tekstur lembut aiskrim anda seperti baru dibeli, letakkannya di bahagian paling sejuk iaitu di bahagian belakang dalam freezer.

3) Jangan panaskan aiskrim dengan ketuhar gelombang mikro
Kalau aiskrim beku sangat pun satu masalah untuk diceduk dengan sudu atau penceduk. Kalau anda masukkannya ke dalam microwave untuk mencairkannya sedikit, sebenarnya ia akan merosakkan tekstur keseluruhan aiskrim itu. Jadi rendamkan penceduk atau sudu anda dalam air suam selama beberapa minit, lap sehingga kering sebelum menceduk.


4) Jangan guna sudu kayu atau plastik
Sudu kayu atau plastik selalunya ada rasa yang boleh mengganggu rasa sebenar aiskrim. Lagipun ia tak cukup keras dan menyukarkan kerja menceduk lebih-lebih lagi kalau aiskrim itu masih beku. Seeloknya gunakan sudu besi.

5) Hidang aiskrim dengan bahan-bahan tambahan
Makan aiskrim begitu sahaja sudah sedia sedap, tapi alangkah lebih indah sekiranya diletakkan penyeri seperti beras coklat, empingan jagung, nata de coco, marshmallow, kekacang, atau buah-buahan seperti pisang, mangga dan sebagainya. Eksperimen sendiri supaya mendapat rasa yang kena dengan tekak anda.



6) Tutup penutup aiskrim dengan rapat
Kalau tak ditutup rapat, udara dalam freezer yang mengandungi zarah-zarah air akan masuk ke dalam bekas lalu menyebabkan aiskrim anda membentuk kristal ais dan mengganggu teksturnya. 

7) Makan sampai habis
Apa jenis makanan pun kalau disimpan lama, kesegarannya akan tetap merudum. Aiskrim, dan semua produk makanan, hanya berada pada tahap tertinggi kesegarannya selepas penutup kedap udaranya dibuka. Jadi bila dah dibuka, makan sampai habis. Melainkan anda jenis tak kisah.


Apapun, makanlah dalam kadar sederhana dan berpada-pada. Ketahuilah, memakan makanan yang tinggi kandungan gula dengan kerap akan mengundang penyakit kencing manis. Rancak TV peduli.

Begini caranya nak jadikan aiskrim kekal 'segar' Begini caranya nak jadikan aiskrim kekal 'segar' Reviewed by Hilal Azmi on August 17, 2020 Rating: 5

No comments