Home Top Ad

Benarkah semut tak makan madu asli?


Ada orang kata semut tak akan makan madu asli. Kalau madu di rumah kita itu dihurung semut, katanya madu itu sudah dicampur bahan lain. Betul ke?


Pertama, kita perlu mengenali sifat semut. Seperti hidupan bergerak yang lain, semut mencari makanan dan makanan yang disukai semut adalah juga yang dimakan manusia. Seperkara lagi tentang semut adalah mereka tertarik kepada lembapan. Maka makanan yang ada kandungan air adalah yang dicarinya.


Madu asli yang diambil terus dari sarang itu pun sebenarnya ada tidak lebih 20 peratus kelembapan. Madu amfoang antara madu paling tinggi kualiti di mana sangat kurang kandungan airnya. Namun, apa sahaja jenis madu termasuklah amfoang, akan menyerap kelembapan apabila terdedah kepada udara lebih-lebih lagi dalam cuaca tropika yang lembap.


Agak sukar hari ini untuk membezakan antara madu asli dan madu tiruan dengan mata kasar. Walaupun dicap 100% madu asli, ada juga syarikat atau penjual durjana yang mencampurkan madu dengan air serta pelbagai bahan asing lagi seperti glukos, fruktos jagung atau kanji untuk menambah rasa dan beratnya. Rasanya memang macam madu, tetapi tidak disedari sudah ditipu.


Maka jika rasanya sama, dan kedua-duanya dihurung semut, macam mana mahu membezakan yang mana satu tulen dan mana satu palsu? Ini antara caranya:


Pertama, kalau pertama kali membuka balang madu yang dibeli itu menghasilkan sedikit bunyi 'pop', itu tanda berlaku semacam proses penapaian/fermentasi. Maksudnya ada bahan asing yang sudah dicampur.


Kalau beli madu dalam bekas bercorong yang bukan kaca, letakkan setitis madu pada ibu jari. Kalau ia menjejeh, kemungkinan besar ia madu campuran. Madu asli biasanya pekat dan melekat pada permukaan. Satu hal lagi, rasa madu tiruan bertahan lama sedikit kerana kandungan gula tambahannya.


Tak yakin juga, ambil sesudu madu dan letakkannya ke dalam gelas berisi air. Madu palsu akan mudah larut sementara madu asli teksturnya lebih likat, dan hanya akan mendak ke dasar gelas. Kalau diletakkan pada kertas atau kain juga, madu asli tidak meninggalkan kesan yang jelas kerana tidak terserap pada permukaannya.


Madu asli juga tidak boleh terbakar. Cuba sadurnya sebatang mancis dengan madu dan nyalakannya. Jika batang itu terbakar, madu anda adalah tulen. Kalau madu buatan, ia akan menyerap ke dalam batang mancis itu dan kelembapan membuatkannya tidak boleh terbakar apabila digores.


Masih ragu-ragu? Campurkan sesudu teh madu dengan sedikit air dan 2-3 titis cuka pekat. Kalau campuran itu menghasilkan buih atau busa (foam), artinya besar kemungkinan ia adalah madu palsu. Campuran madu tanpa bahan buatan manusia akan mengeras kesan tindak balas kimia apabila dicampur.


Tak puas hati lagi? Pergi lah cari sendiri madu di hutan. Selesai masalah.

Benarkah semut tak makan madu asli? Benarkah semut tak makan madu asli? Reviewed by Hilal Azmi on August 11, 2020 Rating: 5

No comments