Home Top Ad

Cara hilangkan kelemumur dengan bahan semula jadi


Kelemumur memang benda yang sangat menjengkelkan. Kadang-kadang boleh jadi perkara yang meruntuhkan semangat untuk berdepan khalayak apabila 'salji' asyik memenuhi bahu dan kepala tak berhenti rasa gatalnya.

Pertama, kita perlu kenal pasti apa yang menyebabkan kelemumur. Pakar lapangan kulit atau dermatologi mendapati bahawa ia terjadi apabila tubuh bertindak balas kepada yis, sejenis kulat yang secara semula jadi tinggal di kulit kita termasuk di kepala. Apabila pertumbuhan yis melampaui kebiasaan, ia akan menyebabkan keradangan dan kulit jadi berkeping.

Lebih-lebih lagi dalam cuaca panas dan lembab, memang suasana ideal untuk yis membiak dengan pesat apabila sebum atau minyak yang dihasilkan kulit bersama peluh berkumpul di kulit kepala.

Hampir separuh daripada populasi manusia di dunia ini berdepan masalah kelemumur. Ada yang datang sekali sekala, ada pula yang tak pernah sembuh daripadanya. Macam-macam produk sudah digunakan, tetapi begitu juga malah ada yang makin teruk.

Ketahuilah produk-produk yang terdapat di pasaran kesemuanya sudah bercampur dengan pelbagai bahan kimia yang bagaimanapun akan meninggalkan kesan kepada kulit kepala. Sebaiknya beralihlah ke bahan alami kerana setiap ciptaan tuhan di muka bumi ini ada manfaatnya kepada setiap permasalahan manusia.


1) Minyak Pokok Teh


Biasa kita panggil tea tree oil. Minyak ini selalu digunakan sejak dahulu untuk merawat sebarang jangkitan kulat dan bakteria. Kerana memiliki ciri-ciri antimikrobial, ia dapat menghalang pembiakan berleluasa mikroorganisma seperti kulat.

Tidak digalakkan untuk menyapu minyak pokok teh asli terus ke kulit kepala, kerana pedihnya bukan kepalang. Campurkan beberapa titis bersama syampu biasa yang anda gunakan.


2) Cuka epal 


Ramai orang telan apple cider ini kerana katanya dapat membantu menguruskan badan, tetapi ia juga boleh digunakan secara luaran. Ia memiliki ciri antibakteria dan antikulat yang dapat membunuh yis penyebab kelemumur. Pada masa sama, ia juga mampu mengecutkan liang roma dan menyingkirkan lebihan sebum pada kulit.

Cara gunanya hampir sama dengan minyak pokok teh, tak digalakkan aplikasi terus. Sebaliknya, campur dengan air pada nisbah 50:50 (atau mulakan dengan sedikit sahaja cuka jika kulit kepala anda sensitif) sebelum dilumurkan pada kulit kepala,  dan biarkan selama sekitar lima minit. Kemudian bilas dengan bersih, sebab cuka epal ini baunya ya ampun.


3) Serbuk penaik


Orang putih panggil baking powder, orang kita panggil mauripan (sebab orang kita selalu generalize sesuatu barang dengan produk popular). Serbuk penaik mempunyai ciri antikulat yang sederhana, juga dapat membantu pengelupasan (exfoliate) kulit kepala secara sihat. 

Boleh dicampurkan sesudu serbuk penaik dengan syampu biasa anda, atau adun bersama air sebelum dilumur pada kepala, diurut dan digosok lembut kemudian bilas bersih. TAPI tak boleh dibuat selalu sebab serbuk penaik ini sangat beralkali dan boleh merosakkan rambut.


4) Minyak kelapa


Minyak kelapa juga ada ciri antikulat yang dapat mengawal pembiakan yis di kulit kepala kita. Pada masa sama, ia juga dapat meredakan keradangan. Molekul minyak kelapa yang kecil akan mudah menyerap masuk ke kulit kepala, sekaligus membantu juga pertumbuhan rambut yang lebih sihat.

Ini boleh digunakan terus, dengan cara lumurkan dalam dua camca kecil pada rambut dan kulit kepala, urut dan gosok lembut dan biarkan semalaman. Basuh dengan syampu atau perapi serta bilas sebaiknya.


5) Daun lidah buaya


Daun aloe vera ini memang terkenal dengan kemampuannya, gelnya memiliki ciri pelembab, juga antikulat dan antibakteria yang menakjubkan. Ia juga memberikan rasa dingin apabila disapu, sekaligus dapat menghilangkan kegatalan.

Lumurkan lendir daun lidah buaya pada kawasan bermasalah dan biarkan selama kurang lebih 30 minit sebelum dibilas bersih. 


Begitupun, semua petua ini perlu diamalkan secara konsisten dan kesannya hanya dapat benar-benar dirasai dan dilihat selepas beberapa ketika. Mana ada benda baik datang cepat, kan? Tekun dan sabar, insyallah akan sembuh masalah.

Kalau tak baik juga, pergilah berjumpa doktor. Selebihnya, berserahlah kepada Yang Esa. Selamat mencuba!

Cara hilangkan kelemumur dengan bahan semula jadi Cara hilangkan kelemumur dengan bahan semula jadi Reviewed by Hilal Azmi on August 24, 2020 Rating: 5

No comments