Home Top Ad

Fenomena aneh di 'Pusat Cakerawala'


Ada satu tempat di Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat dipanggil sebagai 'Pusat Cakerawala' atau bahasa Inggerisnya, 'The Centre of the Universe.'

Nampak di mata, tiada apa yang begitu istimewa tentang tempat ini. Ia hanyalah sebuah dataran bulat kecil yang menjadi sebahagian daripada struktur jambatan pejalan kaki yang merentasi rel kereta api. Namun, ada fenomena yang aneh berlaku di sini.

Di tengah-tengahnya, ada bulatan konkrit kecil berdiameter 30 inci. Jika seseorang berdiri di situ, memandang ke mana-mana arah dan bersuara, dia akan mendengar suaranya bergema dan lebih kuat daripada yang dihasilkan. Pada ketika sama, sesiapa yang berada di sekitarnya tidak akan mendengar apa-apa bunyi pun.

Bukan itu sahaja, malah kalau anda bersuara dari luar pusat bulatan itu, suara itu akan kedengaran herot dan tidak jelas dari seberang bulatan. Pelik tapi nyata, itulah keanehan yang berlaku di kawasan yang dibina pada sekitar 80-an itu.

Lokasi yang didakwa sebagai 'Pusat Cakerawala' dek fenomena aneh yang berlaku di situ, dari pandangan atas. Yang hitam itu adalah arca 'Artificial Cloud' setinggi 60 kaki yang berada di selatan dataran ini.

Maka keganjilan akustik itu telah membangkitkan pelbagai teori untuk menjelaskan kejadiannya. Ada yang percaya bahawa di tengah bulatan itu adalah sebuah vorteks di mana segala tenaga kosmik bertemu, kerana itu ia dinamakan 'Pusat Cakerawala'.

Tidak kurang juga yang datang mengalaminya, membuat pembacaan dan cuba memahami dari pandangan logik. Jerry McCoy, profesor fizik di University of Tulsa mengatakan bahawa tembok tanaman yang mengelilingi dataran itulah yang menyebabkan lantunan parabolik kepada bunyi yang dihasilkan dari pusat bulatan.

Walaupun sudah dikaji oleh macam-macam orang, masih belum ada konsensus atau persetujuan bersama yang menjelaskan bagaimana fenomena luar biasa itu berlaku.

Ia akan terus menjadi subjek kajian mereka yang tetap mahukan jawapan di sebalik setiap yang berlaku di dunia ini. Kalau yang malas nak kaji, wallahu'alam bi sawab.


*Sumber: atlasobscura.com, tulsaworld.com, unbelievable-facts.com
Fenomena aneh di 'Pusat Cakerawala' Fenomena aneh di 'Pusat Cakerawala' Reviewed by Hilal Azmi on August 24, 2020 Rating: 5

No comments