Home Top Ad

Kenapa Socrates sangsi dengan demokrasi


Kita selalu melihat demokrasi sebagai sistem terbaik mentadbir manusia. Ia diasaskan lama dahulu ketika kemuncak peradaban Greek Purba, dan ia dilihat berkesan terhadap banyak ketamadunan bangsa di dunia sehingga hari ini.

Sebenarnya, Demokrasi dipandang skeptikal oleh satu lagi pencapaian yang dipelopori peradaban itu, iaitu Filusufi atau Falsafah.

Dalam dialog Plato, beliau menceritakan bahawa bapa filsuf Greek, Socrates, sangat pesimis terhadap seluruh idea dalam demokrasi. Dalam Buku Enam, kitab Republic karangannya, dikisahkan Socrates berhujah dengan satu watak bernama Adeimantus dan cuba memperjelaskan kepadanya kecacatan pada demokrasi dengan membuat analogi sebuah kapal.

"Kalau kau mahu memulakan sebuah pelayaran, siapa yang kamu secara idealnya mahu bagi menentukan siapa yang berkuasa atas kapal itu? Tak kisah sesiapa sahaja, atau orang yang terpelajar tentang hukum dan keperluan pelayaran?," kata Socrates.

"Yang ada ilmulah," jawab Adeimantus.

"Jadi kenapa kita selalu fikir yang orang tua sahaja layak menentukan siapa yang patut mentadbir sesebuah negara?," balas Socrates.

Hujah Socrates adalah mengundi dalam sesebuah pilihan raya adalah satu bentuk kemahiran, bukan benda yang boleh suka-suka. Seperti apa sahaja pun kemahiran, ia perlu diajarkan secara sistematik kepada semua orang. Membenarkan warganegara mengundi tanpa dididik adalah tidak bertanggungjawab, seperti menyuruh orang tak ada ilmu laut mengemudi kapal yang meredah taufan di laut.

Socrates juga orang yang pertama mengalami akibat ke'tidak cerdik'an para pengundi. Pada tahun 399 Sebelum Masihi, beliau dibawa ke muka pengadilan atas dakwaan 'merosakkan minda anak muda Athens.' 500 orang Athens yang dipanggil menjadi juri membuat keputusan di mana majoriti kecil bersetuju bahawa Socrates bersalah. Dia dihukum mati dengan meminum racun hemlock.

Portrait of Socrates, marmar, karya seni Rom pada abad pertama di Muzium Louvre, Paris. Mungkin sebuah salinan daripada arca asal daripada gangsa ukiran Lysippos. (Gambar: Wikipedia)

Sebelum riwayatnya tamat, ahli filsuf itu bertegas bahawa hanya mereka yang berfikir tentang isu itu secara rasional dan mendalam sahaja yang sepatutnya layak mengundi.

Kita sudah lupa bezanya antara demokrasi terpelajar dengan demokrasi sejak lahir. Kita membenarkan sesiapa sahaja mengundi tanpa menghubungkannya dengan kewarasan dan kebijaksanaan. 

Socrates sudah tahu betapa senangnya manusia menggunakan pilihan raya untuk mengeksploitasi keinginan kita untuk jawapan segera kepada segala permasalahan. Beliau mengajak kita supaya membayangkan sebuah debat pilihan raya antara dua calon, satu seperti seorang penjual gula-gula dengan satu lagi seperti seorang penjual ubat.

Penjual gula-gula mungkin akan berkata, "Tengok, orang ini (penjual ubat) sudah buatkan kamu merana. Dia sakitkan kamu, beri kamu racun yang pahit, dan melarang kamu makan apa yang kamu suka. Dia tidak akan dapat menghidangkan kepada kamu segala aneka nikmat dan kemanisan seperti saya!"

Kalian rasa si penjual ubat itu mahu jawab bagaimana? Jawapan sejujurnya, "Saya buatkan kami merana, menentang kehendak kamu supaya kamu sembuh." Tapi pasti akan mencetuskan kemarahan para pengundi.

Kita telah lupa peringatan penting Socrates tentang demokrasi. Kita lebih cenderung untuk menganggap bahawa demokrasi itu sekadar sebuah kewajipan sebagai seorang warganegara semata-mata, berbanding melihatnya sebagai sebuah proses yang bertindak sebagaimana sistem pendidikan yang menyelubunginya.

Kerana itu hari ini kita telah mengangkat terlalu ramai penjual gula-gula, dan sedikit sahaja penjual ubat.

Gambar atas sekali: Death of Socrates (1787), karya Jacques-Louis David.

*Sumber: The School of Life
Kenapa Socrates sangsi dengan demokrasi Kenapa Socrates sangsi dengan demokrasi Reviewed by Hilal Azmi on August 26, 2020 Rating: 5

No comments