Home Top Ad

Legenda Kem Semangat, Woodstock versi Malaysia


Pada pagi 18 Ogos 1969, festival muzik terunggul dalam sejarah peradaban manusia, Woodstock Music & Art Fair menutup tirainya selepas tiga hari menjadi medan keamanan, kasih sayang dan rock 'n' roll di New York.


Dibasahi hujan dan lecak di ladang Yasgur, anak-anak muda Amerika berkumpul dan meraikan muzik di pentas utama yang dipersembahkan oleh barisan pemuzik hebat antaranya Janis Joplin, Joe Cocker, Jefferson Airplane, The Who, Carlos Santana dan tidak lain tidak bukan, Jimi Hendrix.


Lebih setengah juta manusia dipercayai membanjiri Woodstock, angka yang masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana konsert atau festival muzik sehingga hari ini. Ia menjadi kemuncak manifestasi penentangan jiwa golongan muda kepada kerajaan yang haloba dan tidak berperikemanusiaan melancarkan perang di Vietnam.


Tiga tahun kemudian, gemanya sampai ke Malaysia. Atas semangat yang sama, sebuah temasya dianjurkan dengan nama Kem Semangat, bertempat di satu kawasan lapang di dalam hutan di Cheras yang menjadi tapak perkhemahan Persatuan Pengakap, pada penghujung Julai 1972.



Ia berlangsung selama 30 jam bermula 6 petang Sabtu 29 hari bulan, dihadiri oleh kira-kira 700 orang dari setiap pelusuk negeri dengan tiket masuk berharga RM3. Mereka dengan pembawakan jiwa bebas yang digelar sebagai hippies, bertumpang kenderaan menuju ke tempat temasya di pinggir ibu kota itu. Rambut panjang, kolar lebar dan seluar bell-bottom menjadi seragam arus perdana zaman itu.


Pentas disinari persembahan daripada kumpulan gitar rancak (kugiran) tempatan, juga negara jiran Singapura dan Indonesia. Senarai penuh kugiran terlibat pada temasya itu sampai sudah tidak diketahui, tapi Sons of Adam, The Falcons dan The Strollers antara nama besar muzik alternatif tanah air ketika itu selain Illusion Revival, Sweet September, Ash Wednesday, Mushroom Alice yang menggamatkan pentas Kem Semangat. Selain itu, ada juga aktiviti sampingan lain seperti tayangan filem dan bengkel seni.



Namun ia menjadi satu isu besar sejurus berakhir temasya tersebut. Media arus perdana menghentam penganjurannya yang disifatkan sebagai 'medan penyalah gunaan dadah' dan 'rancangan menghancurkan anak muda'. 


Ia menjadi bahan politik untuk para pemainnya menonjolkan ketrampilan. Shariff Ahmad, Setiausaha Parlimen Kementerian Informasi ketika itu menyelar acara itu yang dilihatnya sebagai "sebuah konspirasi antarabangsa yang khusus untuk mempengaruhi remaja dengan dadah bagi meruntuhkan semangat mereka daripada menyambar peluang yang disediakan kerajaan."



Anwar Ibrahim, presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) ketika itu memperkenalkan terma 'budaya kuning' bagi melabel acara seumpama Kem Semangat yang dianggapnya sebagai pengaruh dari barat yang berlawanan dengan cara hidup Timur. 


Wujud juga gesaan supaya kerajaan mengharamkan gaya rambut panjang dan fesyen hippies, dengan alasan "ia bertentangan dengan agama." Lucu, tapi begitulah orang politik berbicara.


Sepertimana Woodstock di New York, Kem Semangat di Cheras menjadi medan kemuncak kenyataan perasaan yang marah kepada kerajaan. Ketika belia Amerika menentang tindakan Presiden Richard Nixon melancarkan perang terhadap Vietnam, anak muda Malaysia tidak setuju apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Abdul Razak Hussein, membenarkan Amerika menggunakan pangkalan tentera negara yang katanya bertujuan mengekang penularan fahaman komunisme di rantau Asia Tenggara.


Begitupun, generasi hippies ini menyedari keganasan tidak boleh dilawan dengan keganasan. Maka muzik menjadi medium mereka menyatakan protes, dan muzik juga menyatukan mereka tanpa prejudis.



Sepertimana dilaporkan oleh para wartawan, walaupun melihatnya sebagai satu "gejala sosial", mereka tidak dapat menafikan suasana sebenar di Kem Semangat yang sangat 'aman dan harmoni', dengan 'mengetepikan bangsa dan warna kulit.'


Tidak banyak perincian yang dapat diceritakan tentang Kem Semangat ini, memandangkan budaya pendokumentasian kita yang sedia lemah dan masih lemah, atau mungkin dokumennya telah dihapuskan ketika isu penentangan terhadap acara ini memuncak. 


Ia kekal menjadi sebuah kisah legenda yang disampaikan dari mulut ke mulut, sebuah temasya yang dikenang oleh mereka yang menghadirinya sebagai pentas meraikan nilai kemanusiaan yang dibentuk oleh kasih sayang, semangat dan harapan.


*Sumber: Juice Online, The Wknd, bukanmasalahkau.blogspot, Facebook/Sons of Adam.


Legenda Kem Semangat, Woodstock versi Malaysia Legenda Kem Semangat, Woodstock versi Malaysia Reviewed by Hilal Azmi on August 18, 2020 Rating: 5

No comments