Home Top Ad

Oymyakon, pekan berpenghuni paling sejuk di dunia


Cuaca yang paling sejuk pernah saya alami adalah 15°C bawah paras beku di Seoul, Korea Selatan pada Januari 2018. Dikatakan ia adalah suhu terendah pernah dicatat di bandar itu dalam tempoh tujuh tahun.


Muka jadi keras, telinga kebas, hidung berair, bibir pecah. Sejuk sesejuk sejuknya, mencucuk sehingga ke tulang. Bagaimanapun saya tidak dapat membayangkan berada di Oymyakon, tempat berpenghuni tersejuk di dunia.


Oymyakon merupakan sebuah pekan kecil di Republik Sakha, timur laut Rusia dengan populasi hanya sekitar 500 orang sahaja. Di sana, suhu puratanya pada musim sejuk adalah sekitar -50°C dan cahaya matahari hanya ada sekitar 3 jam sehari.


Pekan ini boleh dimasuki dari bandar Yakutsk dan pemanduan selama dua hari melalui Lebuhraya Kolyma. Satu-satunya jalan ke Oymyakon ini dibina ketika zaman pemerintahan Joseph Stalin dengan kerahan tenaga paksa banduan kem tahanan gulag.



Ada cerita mengerikan tentang lebuhraya sepanjang kira-kira 1,200 km ini. Lebih sejuta nyawa terkorban ketika pembinaannya dalam cuaca sejuk ekstrem, di mana dikatakan pasti ada buruh yang mati pada setiap satu meter. Setiap kali ada orang yang mati, mayat mereka dikuburkan terus ke dalam batuan dan simen jalan tersebut, kerana itu ia digelar 'Lebuhraya Tulang' (The Road of Bones).


Oymyakon berada 700 meter di atas paras laut, dan berada hanya beberapa ratus batu di bawah Lingkaran Artik. Geografinya yang terletak di antara dua lembah menyumbang kepada kesejukannya apabila angin terperangkap pada masa sama menghalang cahaya matahari yang terbit tidak tinggi dari ufuk.


Mata penduduk pekan ini tidak alpa daripada kerap melihat termometer. Ia kerana jika suhu melepasi bawah -55°C, semua premis dan sekolah perlu ditutup dan penduduk tidak keluar dari rumah mereka untuk mengelak risiko tinggi 'frostbite'.



Ada satu monumen yang dibina pada zaman Soviet di dataran pekan ini, yang memaparkan teks 'Oymyakon, Pole of Cold'. Juga terukir di situ catatan suhu terendah di pekan itu iaitu -71.2°C pada Januari 1924. Bagaimanapun pada 2013, pekan itu mencatat suhu -72.2°C. Ia merupakan suhu tersejuk yang pernah dicatat di luar Antartika.


Bagaimanapun, Oymyakon juga ada musim panas, cuma tidaklah panas tetapi sederhana atau suam. Jun hingga Ogos merupakan bulan yang biasanya suhu 'terhangat' pada purata sekitar 18.7°C, dan cuaca melepasi suhu 30°C juga kerap berlaku. Pada Julai 2010, pekan tersebut mencatat suhu tertinggi iaitu 34.6°C. Waktu siang pada musim panas juga panjang, sehingga 21 jam.



Pekan kecil ini dihuni oleh penduduk natif Yakut yang memiliki iras wajah orang Asia. Fizikal mereka pun tidak tinggi dan besar kerana dipengaruhi cuaca (lagi besar badan, lagi luas permukaan untuk haba dilepaskan dari tubuh). Kerana cuaca yang begitu, diet mereka tidak pelbagai, selalunya sekitar ikan dan kuda Yakut (termasuk organ dalaman dan darahnya).


Pekan ini tiada bekalan air mengalir, memandangkan cuaca sejuk di mana seluruh tanahnya juga beku. Tak mandi tak apa lagi, tapi kalau nak buang air, jamban tidak berada di dalam rumah dan anda perlu keluar.



Bayangkan nak terkucil tengah-tengah malam. Beku bontot.


*Sumber gambar: Aos Chapple/Rex/Shutterstock

Oymyakon, pekan berpenghuni paling sejuk di dunia Oymyakon, pekan berpenghuni paling sejuk di dunia Reviewed by Hilal Azmi on August 13, 2020 Rating: 5

No comments