Home Top Ad

POV: Dulu van buruk, kini ‘Library Cikgu’


SUDAH bersara bukan penghalang untuk tidak kerja kuat dan berbakti kepada masyarakat.

Itu yang ditonjolkan Ahmad Sutan atau mesra dipanggil Cikgu Ahmad, dalam usahanya menerapkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak di kawasan kejiranannya.

Biarpun telah bersara daripada bidang pendidikan, ia tidak memudaratkan semangat Cikgu Ahmad untuk berbakti kepada masyarakat serta mendidik kanak-kanak.

Dek kerana ingin mengisi masa persaraan dengan aktiviti, bekas guru pendidikan seni berusia 64 tahun itu sentiasa mempunyai idea yang kreatif hingga beliau berjaya mewujudkan ‘Library Cikgu’.

Siapa sangka, van buruk yang dibiarkan tersadai di tepi jalan ini boleh berubah wajah menjadi sebuah perpustakaan mini di hadapan rumah di Desa Impian, Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh.

Jelas Cikgu Ahmad, ideanya itu tercetus ketika melihat banyak van yang tersadai di tepi jalan sekitar Subang Bestari.

"Tercetusnya idea Library Cikgu ini pada Februari tahun lepas, ketika itu saya ke Subang Bestari berjalan-jalan dan minum dengan kawan-kawan.

"Saya ternampak banyak van-van buruk tersadai di tepi jalan berdekatan sebuah bengkel dan secara tiba-tiba, terlintas di hati saya untuk membeli van tersebut untuk dijadikan perpustakaan mini.

"Kemudian saya pun bertanya kepada pemilik bengkel tersebut dan pemilik bengkel tersebut terus menghubungi pemilik van berkenaan. 

"Setelah berjaya menghubungi pemilik van berkenaan, saya terus menyatakan hasrat saya kepadanya iaitu menjadikan ia sebuah perpustakaan.

"Alhamdulillah pemilik van tersebut memberikan saya van tersebut secara percuma kepada saya,” jelasnya.

Selain itu, kata Cikgu Ahmad, beliau juga secara kebetulan mempunyai seorang rakan yang mempunyai kilang perabot.

Jelasnya, rakannya itu turut menyambut baik hasratnya dan membantu menyediakan rak buku, kerusi serta meja atas niat bersedekah.

"Alhamdulillah, tidak sampai dua bulan van itu telah direnovasi menjadi sebuah perpustakaan kecil,” ujarnya.

Tambah Cikgu Ahmad, beliau juga bersyukur kerana mempunyai isteri dan anak-anak yang sering menyokong impiannya.

Ketika ditemu bual, isterinya Siti Salamah atau mesra disapa ‘Opah’, berkata suaminya itu seorang yang sentiasa optimis dalam melakukan sesuatu perkara.




Biarpun pada permulaan idea suaminya itu dipandang remeh oleh masyarakat sekeliling, Opah sentiasa percaya dengan niat murni suaminya.

"Apabila cikgu memberitahu perancangannya, banyak juga perkara yang menjadi persoalan Opah.

“Ketika dalam proses mengumpulkan buku-buku, Opah agak sedih kerana buku yang disedekahkan orang ramai adalah buku-buku lama termasuk buku latihan yang pernah dibuat oleh pemilik sebelumnya. 

Namun, dengan pertolongan anak Opah yang turut menggunakan sosial media, kami dapat mengumpulkan buku-buku baharu dan ramai mula menyedari serta membantu kami. 

“Dari situ, Opah berpendapat bahawa di luar sana terdapat ramai orang yang murah hati membantu usaha kami dan kami berasa sangat terharu.

Tambah Opah, suaminya seorang yang sentiasa lakukan yang terbaik dan dia sebagai seorang isteri menyokong penuh segala usaha suaminya dari belakang. 

“Opah gembira dengan usaha yang kami lakukan ini..sekurang-kurangnya masa tua kami tidak sunyi kerana ditemani oleh anak-anak kecil,” kata Opah.

Sedar dengan perubahan minat semasa kanak-kanak.. Cikgu Ahmad sering mengadakan kelas seni untuk menarik minat pengunjung yang datang.








POV: Dulu van buruk, kini ‘Library Cikgu’ POV: Dulu van buruk, kini ‘Library Cikgu’ Reviewed by Hilal Azmi on August 30, 2020 Rating: 5

No comments