Home Top Ad

Restoran di Jepun ini hidang sushi masa depan - dicetak dalam 3D

 

Sushi, antara makanan paling masyhur di dunia dari Jepun.


Selalunya sushi dicanang sebagai pilihan makanan yang sihat berbanding makanan-makanan lain kerana penyediaannya yang tidak menggunakan banyak minyak, ringkas dan pengunaan bahan terproses yang minimum.


Mengenali Jepun yang sangat di hadapan dalam teknologi dan cara aplikasinya yang gila-gila dan luar biasa, ada satu restoran di Tokyo yang membawa pengalaman memakan sushi ke satu tahap yang baharu.


Memperkenalkan Sushi Singularity, restoran yang dimiliki syarikat Jepun, Open Meals. Di sini, anda tidak dihidangkan dengan sushi yang biasa-biasa, tetapi dibuat khas mengikut spesifikasi keperluan tubuh anda.


Ini bukan jenis restoran yang kita boleh suka-suka masuk duduk dan pesan makanan atau ambil sahaja apan yang terhidang di atas tali sawat. Anda perlu mendaftar diri dengan mereka, dan sekiranya permohonan anda diterima, mereka akan menghantar kelengkapan pengumpul sampel ke rumah anda.



Kumpul sampel? Ya, mereka memerlukan sampel DNA, air kencing dan bendalir tubuh yang lain untuk dianalisis dan menjadi 'Pengenalan Kesihatan' anda. Bila sudah ada Health ID, barulah boleh datang ke restoran itu.


Ketika dunia hari ini beransur berhijrah kepada digital, tidak terfikir bahawa makanan pun terlibat sama. Sushi Singularity dalam laman webnya menyatakan, dua revolusi yang dibayangkan - pertama, sushi akan menghubungkan manusia di serata dunia dan akan dihasilkan, diolah dan dikongsi atas talian dalam bentuk 'sushi baharu'; dan kedua, sushi digabung dengan biometrik akan membolehkan pembuatan khusus (hyper-personalization) berdasarkan data biometrik dan genomik.


Sushi yang dihasilkan adalah khas dengan nutrien spesifik yang diperlukan tubuh anda, tetapi bukan dengan cara tradisional dengan nasi, ikan, sotong yang sebenar. Ia akan dicetak dalam bentuk 3 dimensi (3D) oleh tangan-tangan robot. Ini betul-betul sushi masa depan.




Lihatlah antara rupa bentuk sushinya:



Ini namanya 'Cell Cultured Tuna', dibuat secara cetakan 3D dan pengkulturan. Teksturnya dibina untuk menghasilkan semula sensasi, rasa dan rupa otot ikan tuna.

Yang ini dipanggil 'Powdered Sintered Uni', dibuat secara selective laser sintering. Laser karbon dioksida (CO2) digunakan untuk mengeraskan serbuk landak laut 'uni' dan tepung beras supaya dapat membentuk tekstur seakan duri-duri landak laut. Ia tidak akan mencucuk, tetapi mencair di mulut.

Ini pula 'Anisotropic Stiffness Steamed Shrimp', dibuat dengan cetakan 3D. Anisotropi, di mana kekerasan makanan bergantung kepada sudut kunyahan, diterapkan kepada struktur begini untuk mewujudkan rasa seperti memakan udang sebenar.

Ini paling pelik. Namanya 'Squid Castle', dibuat secara potongan penghala CNC 6 paksi. Router berpaksi enam yang dikawal komputer menghasilkan struktur halus yang membentuk istana lama Jepun diperbuat daripada sotong yang dibekukan.

Penjelasan lebih tentang projek revolusi sushi oleh Open Meals ini boleh dibaca di laman web mereka https://www.open-meals.com/sushisingularity/index_e.html.



Jadi, bersediakah anda untuk mengalami makanan masa depan? Takut atau teruja?
Restoran di Jepun ini hidang sushi masa depan - dicetak dalam 3D Restoran di Jepun ini hidang sushi masa depan - dicetak dalam 3D Reviewed by Hilal Azmi on August 12, 2020 Rating: 5

No comments