Home Top Ad

Sejauh mana manusia boleh merdeka?


Semua jiwa memberontak mahukan merdeka. Merdeka daripada kongkongan pejabat, majikan, institusi, organisasi dan sistem serta segala apa yang dianggap membelenggu diri daripada menjalani hidup ikut cara sendiri.

Siapa tidak mahukan merdeka, bebas daripada apa-apa tuntutan daripada siapa-siapa atau apa-apa saja. Tapi jika kita bebas daripada segalanya, mengapa kita hidup.

Jean-Paul Sartre, pemikir Perancis pernah berkata bahawa kebebasan itu adalah satu sumpahan buat manusia. Apabila kita dilahirkan ke dunia ini, kita bertanggungjawab atas setiap apa yang kita lakukan. Menjadi manusia harus membuat pilihan.

Fazleena Hishamuddin memilih untuk hidup tanpa terikat kepada dunia konvensional kerja masuk pejabat cukup masa balik, lebih 10 tahun lalu. Sampai hari ini, dia kekal sebagai karyawati sepenuh masa.

Ketetapan imannya dianugerahkan sebuah rumah lama yang dihasratkan supaya diimarahkan sebagai tempat meraikan seni dan budaya. Cukup hujung bulan Ogos tempoh hari, Serambi Karya Jalan Bellamy KL menyambut ulang tahun pertamanya.

Sedekad lebih wanita ini merdeka menjadi dirinya sendiri, namun dia tidak dapat lari daripada bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri, apatalah lagi keluarganya, pasukannya, rumahnya dan segala apa yang dimilikinya.

Dia masih terikat terhadap komitmen kepada segala yang berkait dengannya. Namun Fazleena menyedari makna merdekanya itu, iaitu dia bebas untuk memilih jalan ini dengan caranya sendiri.

Begitulah (mungkin) maksud Sartre, kerana kebebasan mutlak itu tidak ada. Kita tidak boleh lari daripada kewujudan diri kita dan segala di sekelilingnya.

Namun kita bebas memilih, dan bertanggungjawab terhadap segala pilihan kita. Mahu jadi manusia yang berbakti, yang merosakkan, atau tidak memilih apa-apa. Malah tidak memilih apa-apa juga satu pilihan.

Tonton rakaman sepetang saya bersama Fazleena berbual tentang Serambi Karya, menjadi freelancer dan makna kemerdekaan dari mata hati dan jiwa wanita berhati angkasa ini.






Sejauh mana manusia boleh merdeka? Sejauh mana manusia boleh merdeka? Reviewed by Hilal Azmi on August 31, 2020 Rating: 5

No comments