Home Top Ad

Tak buat apa pun dapat 2.8 juta tontonan...


Dalam keterbukaan pentas media hari ini di mana sesiapa pun boleh menjadi pembikin kandungan, cabaran paling besar adalah untuk mencari topik yang dapat menarik tontonan ramai.


Sedihnya, kebanyakannya tidak menyedari ada tanggungjawab dan etika dalam pembikinan kandungan untuk dihadam khalayak, maka segala-galanya dilihat boleh disiar atas dasar sekadar perkongsian.


Ketika banyak pembikin kandungan berperah otak sampai kering, seorang Youtuber dari Indonesia ini memuat naik video dirinya sedang tidak berbuat apa-apa selama 2 jam 20 minit 52 saat.


Apa yang sukar untuk dihadam akal, video tersebut menerima menerima lebih 2.9 juta tontotan. YA, 2.9 JUTA hanya dalam tempoh empat hari selepas dimuat naik pada 10 Julai tempoh hari.


Tak dapat nak elak, saya pun antara yang menyumbang kepada angka itu kerana melihat jumlah tontonannya yang luar biasa. Kami di Rancak TV punya lah buat macam-macam, nak dapat 1,000 tontonan pun payah.


Memang tak buat apa-apa langsung, dari saat pertama sampai ke penghujungnya! Macam mana dia boleh tahan tak bergerak langsung, tak ada rasa nak menggaru ke, nak terkencing ke. Hanya merenung ke lensa kamera sampai ke sudah.


Nah tengok. berapa lama anda boleh tahan? Saya tengok tak sampai seminit.



Sebenarnya kata Muhammad Didit, dia memuat naik video tersebut menerusi salurannya 'sobat miskin official' sebagai sebuah jenaka susulan komentar penonton yang mengkritiknya supaya membuat kandungan yang lebih membina dan ilmiah.


Didit yang berasal dari Madura berkata kepada media Indonesia, Tribun News, asalnya dia merancang untuk membuat video itu sepanjang 5 hingga 10 minit sahaja. Tapi apabila dah mula, lama-lama dia semakin tenggelam dalam pengalaman tidak berbuat apa-apa itu sehingga melarat sampai 2 jam lebih. Nasib baik tak keras jadi batu.


Apa rahsianya boleh keras selama dua jam? Katanya dia makan dahulu, selesaikan 'urusan' di tandas, dan baru memulakan rakaman. 


"Sepanjang itu, saya tak risau terpaksa bergegas ke tandas tapi lagi takut kalau dipanggil ibu bapa. Kalau tak jawab, jadi masalah nanti," katanya.


Bagaimanapun, usaha Didit membuat video satira itu nampaknya 'menjadi' apabila memperlihatkan bagaimana tabiat tontonan khalayak masa kini.


Kalau video keras tak buat apa-apa pun sampai berjuta orang tengok, jelas sekali ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat kita hari ini.


Tak buat apa pun dapat 2.8 juta tontonan... Tak buat apa pun dapat 2.8 juta tontonan... Reviewed by Hilal Azmi on August 14, 2020 Rating: 5

No comments