Home Top Ad

Tasik di Afrika ini ubah haiwan jadi 'batu'


Ada satu tasik di utara Tanzania, namanya tasik Natron. Dikatakan air tasik ini boleh membuatkan haiwan bertukar menjadi batu. Benar atau dongeng semata-mata?


Sebelum percaya bulat-bulat dengan fakta ringkas yang dilihat di media sosial, eloklah kita buat pembacaan lebih sedikit tentang tasik eksotik ini. Tasik ini sebenarnya bukanlah mistik atau magis bak Medusa, cuma sifatnya unik berbanding tasik-tasik lain di dunia.


Tasik Natron merupakan sebuah tasik terminal, di mana tiada aliran keluar tetapi ada aliran masuk. Sumber air utamanya datang dari sungai Ewaso Ng'iro Selatan yang berpangkal dari Kenya, juga dari kolam air panas berdekatan.


Tasik ini berada di jalur Rekahan Afrika Timur (East African Rift) yang mempunyai beberapa gunung berapi aktif, termasuk Ol Doinyo Lengai. Gunung berapi yang berada di selatan tasik ini menghasilkan lahar unik yang kaya dengan sodium dan potassium karbonit, bernama natrokarbonatit atau dipanggil natron. Dari itulah tasik Natron mendapat namanya.


Disebabkan itu, air tasik ini sentiasa berada pada suhu atas 40°C dan kealkaliannya sangat tinggi yang boleh mencapai skala 12. Kalau terkena airnya, ia tidaklah mengubah kulit menjadi batu, sebaliknya menyebabkan rasa pedih yang amat. 


Kandungan sodium dan potassium yang tinggi menyebabkan airnya bertona merah - Foto: How It Works Magazine.


Bahan beralkali berupaya merencatkan proses penguraian (decomposition) organisma kompleks seperti haiwan dan manusia. Pada zaman dahulu kala, orang Mesir purba menggunakan mendapan di sungai ini untuk mengawet mayat dalam proses mumifikasi.

Kerana komposisi kimianya yang ekstrem, tiada hidupan yang menghuni tasik ini kecuali beberapa yang kebal kepada 'sumpahan'nya. Tasik Natron menjadi habitat kepada alga endemik, beberapa haiwan tidak bertulang belakang dan burung. Ia juga menjadi satu-satunya pusat pembiakan bagi 2.5 juta ekor flamingo jenis lesser.

Sebab itu apabila ada haiwan asing terutamanya yang merentasi tasik ini ketika sedang bermigrasi, ada yang terpedaya dengan pantulan permukaan airnya yang tenang lalu terselam dan tenggelam buat selamanya. Mereka mati serta merta dan tubuh mereka mengeras kerana proses pengapuran (calcification) dek tindak balas kimia dengan air tasik.

Tasik Natron, satu-satunya port bersenggama spesis flamingo lesser di Afrika. - Foto: Smithsonian Magazine


Cerita haiwan berubah menjadi batu apabila terkena air tasik Natron ini muncul apabila seorang jurufoto, Nick Brandt sampai ke kawasan ini ketika mengembara dalam menyiapkan buku fotonya tentang haiwan yang semakin pupus di Afrika Timur bertajuk Across the Ravaged Land.


Dia dikejutkan dengan beberapa bangkai haiwan yang mengeras dengan fizikal yang hampir tidak terusik di tebing tasik. Lalu diupah orang Masai yang tinggal sekitar tasik itu supaya membawa kepadanya spesimen untuk diambil gambar.


Bangkai burung helang, flamingo dan kelawar antara yang menjadi subjek foto Brandt. Mereka antara haiwan malang yang mati dan terawet di dalam tasik itu. Apabila tasik mengering terutamanya ketika musim panas, bangkai-bangkai kelihatan di dasar dan tebing tasik cetek yang tidak melebihi kedalaman 3 meter ini. 


Kata Brandt, dia tidak ubah atau tambah satu benda pun, spesimen yang ditemukan sudah memang begitu rupa dan bentuknya. - Foto: Nick Brandt 2013, Ihsan Hasted Kraeutler Gallery, NY.


Begitu bahaya tasik Natron, ia tetap tewas kepada manusia. Kedamaiannya diancam cadangan pembinaan empangan hidroelektrik di sungai Ewaso. Lebih sedih, tiada undang-undang yang melindungi tasik ini dan hidupannya terutama sekali populasi flamingo lesser yang semakin berkurangan.


Manusia, manusia. Cukup-cukuplah.

Tasik di Afrika ini ubah haiwan jadi 'batu' Tasik di Afrika ini ubah haiwan jadi 'batu' Reviewed by Hilal Azmi on August 11, 2020 Rating: 5

No comments